Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Monday, December 26, 2011

Kertas Kerja – Zulkarnain Moyang Raja Melayu, metos atau realiti

Kertas Kerja – Zulkarnain Moyang Raja Melayu, metos atau realiti

Muhammad Nuruddin Bashah

Muqaddimah

Tulisan ini bukan bermaksud mencela salasilah keturunan raja melayu. Ia hanya suatu sokongan terhadap pencerahan semula sejarah umat Islam alam melayu yang banyak digali melalui karya ulung Sulalatus Salatin. Perlu diketahui, keupayaan kaum Melayu merekod masa, tarikh dan insiden sepanjang zaman masih jauh ketinggalan berbanding kaum arab pada abad ke-15 dan ke-16. Banyak isu-isu terjawab selepas mampunya kaum melayu membaca tulisan-tulisan tafsir, karya sejarah Islam yang diterjemah daripada bahasa Arab malah melalui kajian ‘time line’ sejarah nusantara.

Usaha mengaitkan jurai keturunan raja melayu daripada salasilah Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) boleh dikatakan sebagai usaha yang uruf pada zaman tersebut. Bukan sahaja kaum melayu melaka, malah melayu Kedah, Palembang, Minangkabau (Iskandar dikatakan meninggalkan 3 anak), tamadun Islam serata dunia juga cuba mengaitkan raja-raja mereka dengan kehebatan Iskandar Zulkarnain.

Disebabkan orang melayu menerima riwayat-riwayat Zulkarnain melalui pembelajaran tafsir Surah Al Kahfi, menyebabkan mereka mencampur baur 2 individu berbeza iaitu Iskandar Zulkarnain (Alexender) dengan raja Zulkarnain yang soleh menurut tafsiran Islam. Kaum Melayu mendengar kisah Alexender pula melalui kesusasteraan dan hubungan mereka dengan tamadun India Selatan yang telah lama membuat hubungan dengan Yunani/Rom.

Kehilangan besar sumber sejarah Melayu

  • Masalah utama intelektual melayu adalah kehilangan sumber ilmiah mereka akibat kelicikan penjajah.
  • Portugis menyerang Melaka pada 1511 M menyebabkan Sultan Melaka berundur. Banyak khazanah perpustakaan istana musnah.
  • Hikayat Abdullah menceritakan kebakaran kapal The Fame pada 1824 M menyebabkan banyak khazanah penulisan Melayu-Hindu-Arab hilang.

dengan tangankulah menyimpan segala kitab-kitab da hikayat-hikayat dan syair, maka sehala kitab yang berjilid sahaja adalah kira-kira 300, maka yang lain bercerai berai dan ada yang bergulungan dan ada yang berhelai-helai maka penuhlah tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa dengan kitab-kitab melayu sahaja. Maka kemudian daripada itu, 2 peti dimuatkan surat-surat dan kitab-kitan Jawa dan Bali danBugis serta….tulisannya dalam daun lontar itu, semuanya 3-4 peti[1]

  • Semasa kebakaran kapal itu, Raffles bertarung nyawa menyelamatkan naskhah Sulatus Salatin untuk mengkaji sejarah Melayu.
  • Negara kita hanya menggunakan Sulatus Salatin edisi W.G Shellabear tahun 1896 M yang diambil daripada Munsyi Mohamad Ali (edisi sekolah, Hang kasturi dikatakan menderhaka) dan Sulalatus Salatin edisi tanpa nama yang menyebut Hang Jebat yang menderhaka.
  • Negara kita belum dapat memperoleh naskhah Sulalatus Salatin versi Raffles Malay 18 yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London serta Sulalatus Salatin Cod Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden Belanda[2].
  • Sejarah Melayu ditulis di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Pada tahun 1528, naskhah asal ini dibawa ke Johor dari Kampar. Portugis merampas naskhah Sejarah Melayu pada tahun 1536 semasa menyerang Johor Lama. Naskhah ini dibawa balik ke Johor oleh Orang Kaya Suguh.
  • Tahun 1612, Tun Sri Lanang menyalin semula[3].

Hubungan India dengan Rom

  • Menurut Prof Rajantheran, Alaric[4] melanggar Rom pada 408 M dan meminta 5000 paun emas, 30000 paun daun perak, 4000 pasang jubah sutera dan 3000 paun lada. Lada hanya didapati oleh Rom melalui India Selatan[5].
  • Ini membuktikan hubungan erat antara Rom dengan India Selatan terjalin sekian lama. India Selatan juga membaca banyak kisah-kisah Rom sepanjang diplomasi mereka. Maklumat-makalumat tersebut disalurkan pula kepada kaum melayu di Nusantara.

Konsep asas

  • Menurut Sheikh Ahmad Al Fatani dalam Kitab Faridatul Faraid mukasurat 17, wajib kita yakini bahawa Zulkarnain adalah seorang yang soleh dan bukannya Iskandar Ar Rumi.
  • Al Quran dan Hadis Nabi tidak menyebut istilah Iskandar sebaliknya hanya istilah Zulkarnain.
  • Raja Cyrus (Parsi) digambarkan memiliki topi bertanduk (Zulkarnain).
  • Istilah Alexander dikaitkan dengan istilah iskandar dalam bahasa Arab (arabisasi istilah).
  • Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullahu dalam Fathul Bari yang dimaksud Al-Qur’an, Zulqarnain adalah seorang soleh yang hidup di masa Nabi Ibrahim ‘Alaihi salam.
  • Diriwayatkan dari jalan ‘Atha` dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahwasanya Dzulqarnain masuk ke Masjidil Haram lalu mengucapkan salam kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam dan menjabat tangan beliau. Dan dikatakan bahawa Zulkarnain orang yang pertama kali melakukan jabat tangan.
  • Majoriti Ulama’ ahli sunnah menolak Alexender (Iskandar) sebagai Zulkarnain contoh: Imam Fakhruzrazi, Ibnu Taimiyah, Ibnu Hajar Asqalani.

Siapa Alexander The Great Yunani/Rom 356 BC-323 BC

  • Alexander Agung atau Iskandar Agung (Alexander III dari Empayar Macedonia dikenali sebagai Megas Alexandros; Julai 356 SM - 10 Jun 323 SM)
  • Selepas penyatuan kesemua negara kota Yunani di bawah pemerintahan ayahandanya, Philip II dari Macedonia, (suatu tugas yang Alexander terpaksa ulangi kerana orang Yunani selatan memberontak selepas kematian Philip), Beliau menakluk Empayar Parsi, termasuklah Anatolia, Syria, Phoenicia, Gaza, Mesir, Bactria, serta Mesopotamia, dan memperluaskan sempadan empayarnya sehingga kawasan Punjab.

Qurush/Cyrus I (576 BC – 530 BC) mungkin adalah Zulkarnain

Hasil kajian Seyyed Ahmad Khan (pentafsir Quran terkenal), Molana Abolkalam Azad (Menteri Kebudayaan India), Baha'eddin Khomrashahi dan Dr. Muhammad Ebrahim Bastabi Parizi menyangkal bahawa Zulkarnain adalah Alexander The Great.

Mereka lebih mengesyaki yang Zulkarnain adalah Cyrus Agung ( 576 BC – 530 BC) iaitu raja empayar Parsi Arkaemenia. Mereka memberikan bukti-bukti kukuh termasuk artifak tulisan dan ukiran pada batu istana dan kubur. Berikut merupakan bukti yang dinyatakan:

  • Ukiran pada batu yang masih dapat dilihat hingga kini yang memaparkan Cyrus dengan mahkotanya yang mempunyai tanduk.
  • Menurut Al-Qur'an, rahmat Tuhan diberikan bersamanya dan dengan itu, Cyrus merupakan raja pertama (beberapa ratus tahun sebelum Alexander The Great) yang menakluki sebahagian besar Eropah dan Asia.
  • Cyrus (seperti juga Zulkarnain) menyembah satu Tuhan tetapi Alexander The Great mempunyai banyak dewa-dewi.
  • Di dalam al-Qur'an tercatat perjalanan Zulkarnain iaitu bermula ke Barat lalu ke Timur sebelum ke jalan yang lain (iaitu Utara) yang bertepatan dengan ekspedisi Cyrus yang memulakan penaklukan di Barat Parsi hingga ke Lydia di Asia Kecil kemudian berpatah ke timur sehingga Makran dan Sistani (Scythian/yajuj Ma’juj) sebelum ke Timur Laut menawan Eropah berhampiran Balkan.
  • Ekspedisi Cyrus diteruskan dengan penaklukan Lycia, Cilicia dan Phoenicia, dan mereka menggunakan teknik pembinaan tembok yang belum digunakan lagi oleh orang Yunani ketika itu.
  • Menurut al-Qur'an, pengembaraan Zulkarnain dimudahkan. Cyrus, sempat menamatkan ekspedisinya kali itu pada 542 SM, sebelum pulang ke Parsi. Tetapi Alexander masih dalam misi menakluknya ketika dia mati.
  • Keperibadian Alexander juga dikatakan tidak seperti yang dikatakan mulia apabila Iskandar sendiri sering berpesta arak dan juga mempunyai seorang lelaki, Haphaeston, sebagai kekasihnya.
  • Akn tetapi jika Cyrus adalah Zulkarnain musthil ia bertemu Nabi Ibrahim yang jauh lebih awal zamannya. Mungkin riwayat Zulkarnain bertemu Nabi Ibrahim tidak benar.

Siapa Raja Qurush/Cyrus?

  • Qurush Yang Agung (c. 600 SM atau 576 – Ogos 530 SM atau 529 SM), juga dikenali sebagai Cyrus II dari Parsi dan Cyrus Orang Tua, merupakan Shāhanshāh (Maharaja) Parsi yang pertama. Baginda merupakan pengasas Empayar Parsi di bawah empayar dinasti Achaemenid sebuah empayar dunia pertama yang mempunyai sejarah penting dan mungkin yang paling kaya dan menggagumkan di dalam sejarah.
  • Tempoh pemerintahan Raja Kurus berlangsung selama 20 hingga 30 tahun menakluk Empayar Media, Empayar Lydia dan kemudian Empayar Neo-Babylon

Penindihan sempadan-sempadan negara moden, Empayar Achaemenid di bawah pemerintahan Raja Kurus terbentang dari Turki, Palestin dan Armenia di barat sehingga ke Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Sungai Indus di timur. Parsi menjadi empayar terbesar di dunia.

Alexender pernah dikalahkan oleh Raja Chola India Selatan

· Alexander the Great dari negeri Makedonia Yunani. Baginda pernah menakluk seluruh Asia Tengah dan Timur Tengah hingga menganjur ke Utara India.

· Dalam Sejarah melayu tiada langsung nama Raja Chola disebut sedangkan Alexender The Great dikalahkan oleh Raja Chola.

· Sebaliknya Sejarah Melayu nyatakan Raja Chola sebagai Raja Suran cucu-cicit Iskandar Rom (Alexender) Kehebatan Raja Chola menyebabkan penglipurlara melayu mengaitkannya dengan kehebatan Zulkarnain dalam cerita Islam dan dikaitkan pula dengan Alexander Rom kerana hubungan erat India-Rom menghasilkan berita bahawa Raja iskandar ialah Alexender The Great Yunani (Tamadun sebelum Rom).

· Raja Chola pernah menakluk beberapa daerah di pesisir pantai Semenanjung Tanah Melayu hingga keselatan ke arah Genggayu ( hulu Sungai Johor sekarang) dan mengalahkan Empayar Srivijaya di sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi.

· Alexander gagal memasuki India setelah angkatannya musnah di tangan Raja Chola. Kehebatan Raja Chola bukan sahaja menggerunkan Raja Melayu malah pernah mengalahkan Alexender suatu ketika dahulu.

Jalur keturunan Raja Melayu berdasarkan Buku Sejarah Melayu

Perhatikan 90% perbahasan keturunan Iskandar dikatakan berada di benua India. Ternyata pengaruh maklumat dan sastera India dalam penulisan sejarah Melayu cukup kuat.

· Raja Iskandar

Anak Raja Darab

Berbangsa Rom

Berasal dari negeri Makaduniah

Diberi gelaran Zul-Karnain

Berkahwin dengan Puteri Syahrul-Bariyah (anak Raja Kida Hindi di tanah Hindi) dan mendapat seorang anak lelaki

· Nabi Khidir (sepatutnya hidup zaman Nabi Musa)

Wali Puteri Syahrul-Bariyah dan orang tengah yang menyampaikan hajat Raja Kida Hindi untuk mengahwinkan anaknya dengan Raja Iskandar

· Raja Aristun Syah waladul-malikul-mukarram

Anak Raja Iskandar

Hidup 355 tahun

Mewarisi kerajaan negeri Hindi

Berkahwin dengan anak raja Turkistan

· Raja Aftus

Anak Raja Aristun Syah

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selama 120 tahun

Hilang

Mempunyai seorang anak lelaki-Raja Sabur

· Raja Aska’inat

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Aftus selama 3 tahun

Hilang

· Raja Kasdas

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Aska’inat selama 12 tahun

Hilang

· Raja Amtabus

Anak Raja Sabur

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Kasdas selama 13 tahun

Hilang

Mempunyai seorang anak lelaki-Raja Kudar Zakuhun

· Raja Zaman Yus

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Amtabus selama 7 tahun

Hilang

· Raja Kharu Seka’inat

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Zaman Yus selama 30 tahun

Hilang

· Raja Arkhad Seka’inat

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Kharu Seka’inat selama 9 tahun

Hilang

· Raja Kudar Zakuhun

Anak Raja Amtabus

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Arkhad Seka’inat selama 70 tahun

Hilang

Mempunyai seorang anak lelaki-Raja Ardis Mikan

· Raja Nabtayusar

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Kudar Zukuhan selama 40 tahun

Hilang

· Raja Ardis Mikan

Mewarisi kerajaan negeri Hindi selepas Raja Nabtayusar

Berkahwin dengan anak Raja Nusyirwan Adil (raja Masyrik dan Maghrib) dan mendapat seorang anak lelaki-Raja Darmanus

Kerajaan diturunkan turun temurun kepada anak cucu hingga Tersi Berderas

· Tersi Berderas

Anak Raja Zaman, cucu Syah Tersi, cicit raja Dermanus

Berkahwin dengan anak Raja Sulan (raja di negeri Amdan Negara) dan mendapat 3 orang anak lelaki

Menurut sesetengah riwayat, Raja Sulan adalah daripada anak cucu Raja Nusyirwan Adil, anak Kobat Syahriar (raja Maghrib dan Masyrik)

Anak pertama bernama Raja Hiran memerintah kerajaan di benua Hindi

Anak kedua bernama Raja Suran diambil oleh datuknya, Raja Sulan

Anak ketiga bernama Raja Fandin memerintah kerajaan di benua Turkistan

· Raja Suran

Mengganti Raja Sulan yang mangkat, memerintah negeri Amdan Negara (mungkin Hamdan di Uzbekistan)

Dalam perjalanan hendak menyerang China, Raja Suran serang negeri Gangga Negara yang diperintah Raja Gangga Syah Johan (Beruas)

Raja Suran memenggal kepala Raja Gangga Syah Johan

Menurut fakta di Muzium Beruas, Gangga Negara diserang Raja Rajendra I (1086M)

Berkahwin dengan saudara Raja Gangga Syah Johan bernama Puteri Dara Segangga dan mendapat 3 orang anak lelaki-Citram Syah, Paladu Tani dan Nila Manam

Citram Syah menjadi raja di negeri Candu Kani tetapi membuang diri selepas diberi negeri kecil sedangkan beliau anak yang tua

Paladu Tani menjadi raja di negeri Amdan Negara

Nila Manam menjadi raja di Bijaya Negara

Selepas mengalahkan Gangga Negara, Raja Suran menyerang negeri Langgiu di hulu Sungai Johor yang diperintah oleh Raja Chulan

Raja Suran berjaya memanah Raja Chulan di dadanya

Berkahwin dengan anak Raja Chulan bernama Tuan Puteri Onang Kiu dan mendapat seorang anak perempuan-Tuan Puteri Cendani Wasis

Tuan Puteri Cendani Wasis berkahwin dengan Raja Cu Lan (anak raja China)

Raja Suran turun ke laut dan jatuh ke dalam bumi bernama Dika yang diperintah Raja Aktabu’l-Ard, kaum Bu Sum

Berkahwin dengan Tuan Puteri Mahtabu’l-Bahri, anak Raja Aktabu’l-Ard dan mendapat 3 orang anak lelaki bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama

Raja Suran minta raja jin Asmaghiah Peri membuat 3 biji mahkota untuk anak-anaknya supaya ada tanda Raja Iskandar Zulkarnain pada mereka

Raja jin ambil 3 buah mahkota dari perbendaharaan Raja Sulaiman a.s.

Sebelum naik semula ke darat, Raja Suran berpesan kepada Raja Aktabu’l-Ard supaya hantar anak ke 3 ke dunia bila sudah besar supaya mahkota kerajaan Iskandar Zul-Karnain tidak putus

Setelah anak-anak Raja Suran besar, mereka diberi alat kerajaan dan pakaina lengkap anak raja dan mahkota serta seekeor lembu yang amat putih

3 anak raja naik lembu dan berjalan keluar ke darat (Bukit Si Guntang)

Mereka dipelihara Wan Empuk dan Wan Malini

Demang Lebar Daun dengar berita Wan Empuk dan Wan Malini dapat anak raja dari anak cucu Iskandar Zul-Karnain, ambil 3 beradik tersebut ke negeri Palembang dengan menaiki lembu putih

Nila Utama / Pahlawan digelar Sang SaPurba

Lembu yang dinaiki muntah buih, darinya keluar seorang lelaki dan dinamakan Batala (maksudnya orang yang membaca ciri)

Demang Lebar Daun beri Sang SaPurba kepada Patih Suatang, raja Minangkabau untuk dijadikan raja di alam Minangkabau

Demang Lebar Daun beri Krisyna Pandita untuk dijadikan raja di Tanjung Pura

Siapa Raja Suran?

· Raja Suran juga sering dikaitkan sebagai Rajendra 1, pemerintah Kerajaan Chola di India Barat[6].

· Raja Gangga Shah Johan Raja Beruas (Gangga Negara) telah diserang oleh Rajendren Raja Chola I pada 1025 hingga 1026 M. Dalam Sejarah Melayu disebut raja Suranlah yang menyerang Gangga Negara.

· Sebutan Melayunya ‘Suran’, sebutan asal mungkin Suryavarman, Saravanan, Surya, Survan, Sooria.

· Kaitan dengan ‘suria’ iaitu matahari. Maksudnya dia ialah Raja Matahari. Dinasti Matahari ini dipercaya diasaskan oleh Manu di India. Lagenda Hindu menganggap Manu sebagai raja pertama di dunia. Manu ialah anak dewa Surya (Dewa Matahari). Manu mengasaskan kerajaan pertama di India iaitu kerajaan Kosala.

· Rajendran 1 pemerintah kerajaan Chola itu ternyata bukan salah seorang raja Dinasti Matahari kerana Dinasti Matahari ini tamat pada abad ke-4 Sebelum Masihi sedangkan Rajendran 1 menyerang Asia Tenggara sekitar 1000 M.

Kaitkan Raja Melayu dengan Sejarah Zulkarnain; suatu unsur retorik sastera

· Kedah juga mendakwa diasaskan oleh Raja yang berketurunan Iskandar Zulkarnain sedangkan raja tersebut belum menganut Islam (sedangkan Alexander Rom/Yunani yang dianggap moyang raja melayu dianggap Sejarah Melayu sebagai Muslim berimamkan Nabi Ibrahim)

· Merong Mahawangsa, yang didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad ke-12 M.

· Kisah Raja Suran masuk ke dasar laut dengan peti kaca sama seperti epik Alexander The Great yang mengatakan Alexender pernah masuk ke dasar laut juga. Pengaitan ini cuba menguatkan keistimewaan Raja melayu.

Pandangan HAMKA Tafsir Al Azhar[7]

· Nama Aristun diambil dari nama Aristotle iaitu guru Alexander The Great

· Riwayat Raja Iskandar Zulkarnain Rom dikaitkan dengan nabi Khidir yang sezaman dengan Nabi Musa sedangkan Iskandar Zulkarnain Rom didakwa bertawaf bersama Nabi Ibrahim di Kaabah. Nabi Ibrahim adalah nenek moyang Nabi Musa!

· Yang dikatakan oleh Ibnu Hajar Asqalani sebagai sezaman dengan nabi Ibrahim adalah Zulkarnain yanhg soleh.

· Sejarah Melayu disalin semula oleh Bendahara paduka Raja Tun Sri Lanang setelah kembali daripada tawanan di Acheh setelah Johor menggantikan Melaka. Beliau susun naskhah yang diperolehi dari Goa pada 1612 M dan tiudak mustahil pelbagai unsur tidak sahih berada dalamnya.

· Ada pengaruh Kitrab Al Insan Al Kamil karangan Sheikh Abdul Karim Al Jaili kitab tasawuf berpengaruh di istana melayu. Sheikh Al Jaili meninggal tahun 1365 M. Kitab ini ada sebut kisah Air Kehidupan (maaul hayat), kisah raja dalam lautan dan sebagainya.

· Kemasukan epik dan cerita Iskandar hanya untuk menaikkan darjat Raja Melayu.

Wilayah Kerajaan Chola



[1] Abdullah Abdul Kadir Munsyi Hikayat Abdullah cetakan 1949 (m/s 203)

[2] Raffles 18, dianggap versi yang pertama diterjemahkan (terjemahan bebas) ke dalam Bahasa Inggeris dan diberi judul Malay Annals. Walau versi yang pertama kali dicetak adalah hasil suntingan Abdullah bin Abdulkadir Munsyi di Singapura tahun 1831, kemudian disusul versi William Shellabear, Namun dari dari versi-versi yang berbahasa Inggeris inilah kembali diterjemahkan, dan lebih dikenal dengan judul Sejarah Melayu. Sementara naskah yang diterjemahkan ke Bahasa Belanda masih tetap menggunakan judul sebagaimana yang ditulis oleh pengarang sebelumnya. Sekitar tahun 1979, judul Sulalatus Salatin kembali digunakan oleh Abdul Samad Ahmad pada versi kompilasinya, yang kemudian diikuti oleh beberapa peneliti berikutnya.

[3] Yang diPertuan Raja di Hilir Sultan Abdullah Mu'ayat Syah ibni'l Sultan Abdul Jalil Syah telah mengutuskan Seri Nara Wangsa Tun Bambang untuk memerintah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Mahmud (Tun Sri Lanang) pada hari Khamis, 12 Rabiul Awal 1021 bersamaan 13 Mei 1612 agar menyunting salinan Sejarah Melayu yang dibawa oleh Orang Kaya Suguh dari Goa India atau Gowa Sulewesi.

[4] Raja barbarian King Alaric I, penguasa kaum Visigoths, tawan Rom barat pada 24 Ogos 410 M.

[5] M. Rajantheran Sejarah Melayu Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India, DBP.1999. (m/s 39)

[6] Diasaskan 300-an SM dan tamat 1279. Dinasti Chola sebuah dinasti Tamil Dravidia yang memerintah wilayah di India Selatan sehingga abad ke-13 Masihi. Dinasti tersebut berasal dari lembah subur Sungai Kaveri. Karikala Chola.

[7] Tafsir Al Azhar Jilid 6 Tafsir Surah Kahfi

5 comments:

Neutronboy said...

Banyak juga teori pasal ni... Tapi saya lihat, ramai penulis termasuk penulis kertas kerja ni akan memberi kata yg bersifat 'agak2' bagi mana2 bahagian yg tidak jelas.

Ini satu ketidak adilan. Dulu saya ade dengar, yg Iskandar Dzulkarnain ini hidup lebih awal dari Alexander dan Cyrus.. Tapi saya dah hilang jejak, siapakah Iskandar Dzulkrnain yg dimaksudkan itu.

Ke-2, ade pengkaji sejarah berpendapat, bahawa Perkataan Makuduniah sebagai asal muasal Raja Iskandar itu telah ditokok tambah oleh penjajah sebelum memulangkan kembali naskah nya kepada Orang Melayu. Ini kerana terdapat sekurang-kurangnya 26 versi Sejarah Melayu.

Apa pun, tahniah, dan semoga kajian ini terus berlanjutan.

Anonymous said...

sila bace ALEXANDER ADALAH ZULQARNAIN, seakan-akan sudah mendapatkan jawapan pada pertanyaan:

“Siapakah Zulqarnain yang disebut dalam Al-Quran, surah Al-Kahfi, ayat-ayat 83-98?”

Bagaimanapun, rasanya begitu berat hendak membacanya sehingga habis kerana buku ini mengandungi 730 halaman, tidak termasuk bahagian pendahuluan.

Namun begitu, sejurus saya mula membaca dan membelek-belek buku ini, keinginan untuk mendapatkan jawapan pada pelbagai persoalan terus berlegar di fikiran.

Terdapat beberapa keistimewaan yang ada, yang mendorong saya membaca buku ini sehingga ke penghujungnya.

Buku ini juga mudah difahami isinya kerana ada ringkasan dalam bab pendahuluan.

Ia pula terbahagi pada 15 bab dengan nota dan keterangan serta senarai rujukan tersisip di akhir bab tersebut sebagai kajian lanjutan.

Itulah antara keistimewaan buku ini yang padat dengan peta dan kronologi sejarah, berdasarkan manuskrip dan pandangan orang Barat.

Dan kerana Zulqarnain disebut dalam Al-Quran, maka terdapat ulasan para ulama Islam dan ahli tafsir, mengenai siapakah Zulqarnain.

Diterangkan dalam buku ini bahawa Zulqarnain ada hubungan ilmu dengan Luqman Al-Hakim, yang sebenarnya adalah Socrates.

Bab satu dan dua mengandungi tafsiran dan fahaman para ahli tafsir dan juga sejarawan Barat mengenai Zulqarnain dan The Great Alexander.

Bab tiga dan empat mengandungi sejarah para penguasa dunia dan raja-raja yang melawan Yakjuj Makjuj.

Bab lima hingga tujuh pula menyentuh tentang Oasis monotisme dalam gurun paganisme Yunani, perihal Yunani melawan Parsi dan juga ziarah Alexander ke Baitulmakdis.

Bab lapan menyingkap pengembaraan Alexander ke arah barat (Al-Kahfi: 83-88) manakala bab sembilan hingga 12 menceritakan tentang pengembaraannya ke arah timur, pertemuannya dengan bangsa Yakjuj Makjuj, proses membina kota Alexanderia Eschate dan tembok besi (Al-Kahfi: 89-98).

Konflik dalaman Alexander dengan penganut paganisme dan jawapan terhadap tuduhan para ilmuan Barat bahawa Zulqarnain bukan Alexander menjadi teras dua bab selanjutnya.

Penulis buku, Wisnu Sasongko, adalah pensyarah dan pengkaji di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia.

Karya ini adalah antara buku paling laris yang pernah beliau hasilkan dengan penjualan lebih 10,000 naskhah dalam sebulan pertama ia diterbitkan sekitar Mac 2010.

Al-Quran tidak memastikan bahawa Zulqarnain adalah The Great Alexander, namun dari segi fakta sejarah dan penyelidikannya maka keputusan penulis mengatakan bahawa Zulqarnain adalah The Great Alexander.

Anonymous said...

1) Alexander dikalahkan oleh Raja Porus/Puru dari kerajaan utara (Tanah Hindi) India manakala dinasti Chola berpusat di selatan India (benua Keling).
2) Dinasti Tamil iaitu Cheras, Chola, Chalukya dan Pandyan menggelar diri sebagai keturunan dinasti Bulan.

Anonymous said...

'Hilang' tu maknanya mangkat....kena faham bahasa yg digunakan...

Anonymous said...

Zulkarnain yg dirujuk sebagai moyang raja-raja melayu itu hidup di zaman nabi ibrahim as.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...