Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Thursday, December 24, 2009

memupuk budaya membaca di kilang


Membaca perlu dilakukan di mana sahaja kita berada...saya amat bersetuju dengan beberapa iklan budaya membaca oleh pihak kerajaan dalam media televisyen. Tinggal lagi pemupukan kita da perlaksanaannya dalam konteks kehidupan masing-masing.

Di sebabkan kilang saya masih dalam proses konstruksi dan pemasangan fasiliti, kebanyakan staf, pekerja da jurutera hanya 'menganggur' dalam pejabat atau merayau-rayau dalam kilang melihat pemasangan dilakukan.

Saya memilih untuk merayau daripada bertafakur dalam bilik air cond jurutera.

Ada beberapa supervisor muda yang baru tamat pelajaran dalam tahap diploma. Belum ada pengalaman bekerja di kilang. Tetapi mereka memilih untuk mengisi masa lapang di kilang dengan berdiskusi ilmiyah.

Dari topik kerja, ke topikpeningkatan kecekapan kerja, isu semasa, politik hingga ke isu agama dan fardhu ain!! Hebat mereka ini...

Saya pada awalnya suka mendiamkan diri kemudiannya diheret sama dalam beberapa diskusi mereka.

Saya ceritakan berapa perlunya mereka mengikuti pelbagai kursus kejuruteraa samaada berbayar atau percuma. Mereka perlu peka dengan kursus pembangunan skill dan pengurusan. Sesipa yang baru dalam bidang kejuruteraan pasti tidak faham kursus apakah yang sesuai untuk mereka, atau hanya ikut sahaja arahan kilang. saya katakan kepada mereka, mereka perlu bebas memilih dan menyusun koleksi sijil kemahiran mereka untuk masadepan.

Orang Islam dan orang melaya terutamanya perlu menjadi pakar. lantaran itu sikap proaktif menajdi tema budaya kerja harian kita.

Saya nyatakan kepada mereka hampir dua kotak dokumen, kertas kerja, analisis dan jurnal yang saya kumpul dari kilang lama saya. Malah dalam tempoh setahun saya mengumpul sebegitu banyak info, ilmu dan kemahiran melebihi mereka yang bekerja 5 tahun. Ini apa yang dinyatakan oleh beberapa individu kepada saya.

Sebentar tadi saya bawa beberapa nota kursus Coating and Blasting Inspection yang saya dapat semasa bekursus pada 15 Disember lalu di TPM Bukit Jalil. Kursus ini diserta sejurus selepas majlis pernikahan saya.

Mereka juga bosan berada dlaam kilang tanpa ada bahan bacaan. Saya meminta mereka membawa semua nota yang mereka prolehi sepanjang belajar di kampus. Ulangkaji di sini....

Saya juga membawa salinan buku-buku kecil kertas kerja ilmiah saya, da diedar kepada mereka. Alhamdulillah sambutan hangat. Sampai pukul 5 petang mereka mentelaah tulisan saya itu...

Hingga hari ini saya masih menangguh janji saya untuk menerangkan aspek kegagalan metalurgi kapal Titanic kepada mereka.

Harapnya mereka terus gemar membaca dan meningkatkan pengetahuan mereka baik dalam aspek ilmu semasa ataupun kemahiran dalam kejuruteraan...

Muhammad Nuruddin Bashah

Thursday, November 26, 2009

Peranan besar blog sebagai media baru dakwah, dan implikasi negatifnya.

Peranan besar blog sebagai media baru dakwah, dan implikasi negatifnya.

Dakwah melalui penulisan.

1. Bahasa samada dalam bentuk lisan atau tulisan, merupakan wadah komunikasi manusia yang paling unik, yang membezakannya dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Bahasa bukan sahaja menjadi pengucapan tamadun manusia, malah turut mempengaruhi aspek dan tahap tamadunnya sendiri. Yang dimaksudkan dengan tamadun ialah pencapaian manusia dalam semua bidang kehidupan, kerohanian dan kebendaan yang berpusat di kota. Perkembangan bahasa selari dengan perkembangan kehidupan manusia. Keduanya saling mempengaruhi dan bertindakbalas kerana bahasa, diakui menjadi saluran pemikiran dan juga turut mempengaruhi pemikiran. Dakwah adalah satu aktiviti yang menggunakan bahasa sesuatu kaum yang difahami secara jelas dan berkesan. Tulisan adalah wahana untuk penyampaian dakwah melalui bahasa yang difahami tadi.

2. Daripada Abdullah bin Mas’ud ra. Berkata, Rasullullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya apabila kiamat sudah hampir tiba (1) orang hanya memberi salam kepada orang yang dikenali sahaja, (2) perniagaan akan bertambah maju, sehingga orang perempuan membantu suaminya berniaga, (3) banyak orang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan), (4) banyak saksi palsu, (5) orang suka menyembunyikan penyaksian yang benar, (6) dan akan banyak kemudahan alat tulis

3. Pengaruh tulisan dalam kehidupan manusia amat besar sehinggakan ia dianggap nadi tamadun manusia itu sendiri. Menurut Edward Taylor dalam buku The First Civilization: The Archaelogy of Their Origin, tamadun sesuatu bangsa bermula dengan bermulanya penggunaan tulisan. Sementara H. Morgan pula berpendapat yang sesuatu tamadun

itu tidak mungkin lahir tanpa satu sistem tulisan, dan satu sistem tulisan pula tidak mungkin lahir melainkan di dalam suatu tamadun. Peranan tulisan ini juga telah ditegaskan lagi oleh Beatty dan Johnson dalam buku Heritage of Western Civilization dan juga Colin Renfew dalam buku Before Civilization.

4. Dakwah adalah komunikasi. Apakah isi komunikasi Islam?

a. Amar ma’ruf nahi mungkar,

b. akhlak, dakwah, tabligh, maklumbalas

c. Sebara maklumat pendidikan, hiburan

d. Pentadbiran siasah.

i. Sumber komunikasi Islam: Teks Qur’an dan Hadits, pendapat ulama dan ahli ilmu, akal yang waras.

ii. Hasil komunikasi Islam: keamanan, keadilan, nilai Islam dan akhlak dalam masyarakat.

Sejarah blog

1. Babad, buku Commonplace, buku harian, perzin and persatuan akhbar amatur boleh dilihatkan sebagai pendahulu-pendahulu blog. Sebelum blog menjadi popular, terdapat banyak bentuk komuniti-komuniti digital, termasuk:

* Usenet

* perkhidmatan komersil dalam talian, seperti GEnie, BiX, dan CompuServe yang awal;

* senarai emel;

* sistem papan buletin (BBS).

2. Istilah "weblog" dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997, manakala singkatannya, "blog," dicipta oleh Peter Merholz yang secara bermain-main memecahkan perkataan weblog menjadi frasa we blog di palang sisi blognya, Peterme.com pada April atau Mei 1999. Ini dengan pantasnya diterima, baik sebagai kata nama mahupun sebagai "kata kerja" dalam bahasa Inggeris ("to blog," bermaksud "mengedit weblog atau mengeposkan perutusan ke dalam weblog"). Selepas sebuah permulaan yang lambat, pemblogan dengan pantasnya mencapai kepopularan: laman web Xanga yang dilancarkan pada tahun 1996 hanya mempunyai 100 kemasukan menjelang 1997, tetapi melebihi 20 juta pada bulan Disember 2005. Penggunaan blog meledak pada tahun 1999 dan selepas nya, dipopularkan lagi ketibaan-ketibaan hampir serentak alat-alat blog pengehosan yang awal

Blog untuk dakwah dan mengapa ia tidak boleh diabaikan

1. Penulisan merupakan salah satu bentuk pengabdian manusia sebagai makhluk kepada Tuhannya yaitu Allah S.W.T., dengan tujuan untuk mencari dan menikmati keredhaan-Nya. Penulis Islam berusaha untuk melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan berkeperibadian Muslim. Penulisan mempunyai kaitan yang rapat dengan pembacaan. Penulisan adalah bahan bacaan yang amat berguna untuk memajukan akal fikiran manusia. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T. karena ayat pertama sekali diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.adalah ayat mengadungi arahan untuk membaca; "Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah. Yang mengajarkan (menulis) dengan pena. Yang mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." (maksud ayat 1-5 s.al-Alaq)

2. Walaupun pada asasnya blog hanyalah teknologi yang berfungsi untuk menyampaikan maklumat sahaja, tetapi yang amat penting sekali adalah maklumat itu sendiri. Maklumat inilah yang amat diperlukan oleh manusia. Malah ada yang menyebut ‘maklumat adalah kuasa’. Oleh kerana maklumat adalah kuasa, maka untuk berkuasa teknologi yang merupakan wasilah untuk menyampai dan mendatangkan maklumat menjadi cukup penting dan perlu dikuasai. Kenapa maklumat mempunyai ‘kuasa’? Sebabnya mereka yang mempunyai maklumat dapat membina persepsi insan dan masyarakat keseluruhannya. Orang akan menilai sesuatu yang dilihat dan didengarnya berdasarkan kepada bagaimana maklumat tersebut tiba kepada dirinya. Orang boleh menukar persepsi dan sikapnya tentang sesuatu perkara berdasarkan kepada bagaimana maklumat yang tiba kepada dirinya yang dibentuk oleh yang menyampaikan maklumat kepadanya. Allah s.w.t menyebut di dalam al-Quran,

‘Dan sesungguhnya Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati (qalb) tetapi tidak menggunanya, dan mereka yang mempunyai mata (tetapi) tidak melihat, dan mereka yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mendengar. Mereka sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orangorang yang lalai’ (Al-Qur’an 7:179)

Maknanya maklumat yang disampaikan melalui mata yang melihat dan telinga

yang mendengar, akan membolehkan diri (qalb) yang melihat dan mendengar memberi makna kepada maklumat yang diperoleh. Dengan kata lain maklumat tersebut akan membina persepsi seseorang. Maklumat juga merupakan asas kepada pembinaan ilmu. Tetapi untuk menjadikan maklumat tersebut sebagai sumber ilmu, maklumat itu mestilah benar dan bermakna kepada yang mendapat maklumat berkenaan. Dengan maklumat yang benar dan bermakna sahajalah, maka ilmu dapat dibangunkan. Pembangunan ilmu pula merupakan asas kepada pembinaan insan.

3. Dianggarkan negara kini memiliki hampir 500,000 blog dan pengendali laman blog tertinggi di dunia selepas Eropah dan Indonesia. Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata ini menjadikan penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik. Blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari. Kajian juga mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog. Dalam kajian Zentrum Study juga menunjukkan skala umur yang tertinggi mempercayai blog adalah sekitar umur 31-40 tahun iaitu skala umur matang.

4. Masyarakat kita telah berasimilasi dengan internet dan blog. Kadar penembusan Internet di Malaysia hanya 54 peratus tetapi pengguna sangat tinggi pengetahuan teknologi Internet. Kajian oleh Omnicom Media Group juga mendedahkan lebih 80 peratus pengguna Internet Malaysia sering bersembang secara online, menikmati hiburan (mendengar muzik, radio) dan membaca blog. Manakala 64 peratus menonton video secara online dan mengemas kini laman web jaringan sosial mereka.

5. Pengaruh blog tidak boleh dinafikan lagi sebagai satu elemen penting untuk proses membuat keputusan kepada masyarakat hari ini. Sebahagian besar khususnya golongan muda yang celik komputer akan menerima maklumat yang dipaparkan dan berusaha untuk mengesahkan maklumat berkenaan. Bagi sesebuah blog yang terkenal dan mencecah sejuta kunjungan sehari, ianya mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk menjadi terkenal.

6. Potensi Media Baru Sebagai Medium Dakwah dan Menentang Radikalisme Dalam era teknologi yang semakin maju, masyarakat Islam mudah mendapatkan nasihat agama di mana-mana. Malah terdapat banyak laman-laman blog yang menawarkan khidmat sebegini di alam maya. Laman-laman ini kebanyakannya pula dikendalikan bukan dari mereka yang mahir dalam bidang agama yang kadang kala pula boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat. Terdapat ramai masyarakat Islam yang dahagakan ilmu pengetahuan agama tetapi tidak pasti ke mana harus dituju untuk disalurkan soalan-soalan atau kemusykilan agama yang berada di fikiran. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang tidak biasa ke masjid atau mereka yang baru berjinak-jinak dengan agama atau mereka yang lebih selesa berurusan melalui telefon atau emel daripada bersemuka. Ini boleh mengakibatkan kesilapan pengaliran maklumat yang seterusnya jika kita tidak berhati-hati ia dapat melahirkan golongan self radicalization.

7. Rumusan Future Studies Pola-pola Mozaik Pemilihan Generasi Baru (21 tahun – 41 tahun) dalam PRU12 berdasarkan 1500 responden bagi setiap negeri dikaji pada 20 Februari 2008 – 05 Mac 2008 Analisis “Strata Kepercayaan Terhadap Media” oleh ZENTRUM FUTURE STUDIES MALAYSIA, seramai 1226 respondan Pulau Pinang memilih blog/media baru sebagai sumber makklumat berbanding hanya 79 menggunakan TV dan 195 menggunakan akhbar biasa. Ini bermakna di Pulau Pinang sahaja hampir 81% responden muda Pulau Pinang memilih blog/media baru.

8. Ramai respondan menyokong memilih blog individu PAS sebagai sumber kepercayaan berbanding blog rasmi parti atau lain-lain media. Lihat Rumusan Future Studies Pola-pola Mozaik Pemilihan Generasi Baru (21 tahun – 41 tahun) dalam

PRU12 berdasarkan 1500 responden yang dikaji pada 20 Februari 2008 – 05 Mac 2008 Analisis “Indeks Pengaruh Blog – Perbandingan Jumlah Blog Individual, Organisasi dan Media Baru dengan Parti Yang Disokong” secara terpilih.

Bahaya penyalahgunaan blog

1. Kebebasan bersuara dalam Islam Terdapat ayat-ayat al-Quran yang memperuntukkan hak-hak manusia yang perlu dihormati. Antara hak-hak tersebut adalah hak untuk hidup, hak untuk mengumpul dan memiliki harta, hak untuk bersendirian tanpa gangguan, hak untuk bergerak, hak ke atas anak-anak, hak untuk keadilan, hak ke atas maruah dan penghormatan seseorang, persamaan di bawah undang-undang dan sebagainya. Tetapi kebebasan ini ada hadnya.

a. Prof. Hashim Kamali di dalam bukunya Freedom of Expression in Islam, menolak pemikiran orientalis yang mengatakan bahawa Islam hanyalah agama yang mementingkan perihal ritual ibadah sahaja. Terdapat banyak hak-hak asasi manusia yang dipandang tinggi dalam Islam. Menurut pendapat Prof. Hashim Kamali, hak bersuara boleh dimanifestasikan dalam beberapa keadaan.

i. Pertama hak untuk memberi nasihat kepada orang yang melakukan kesalahan (Nasihah).

ii. Kedua, hak untuk berunding dan bermesyuarat (Syura).

iii. Ketiga hak untuk membuat `ijtihad.

iv. Keempat hak untuk mengkritik orang lain (Hurriyyat al Mu'aradah).

v. Kelima kebebasan pendapat (Hurriyyat al-Ra'y) dan

vi. keenam kebebasan untuk berpersatuan dan

vii. ketujuh kebebasan beragama (al-Hurriyyah al-Diniyyah). Kesemua hak ini adalah bersandarkan kepada nas-nas al-Quran yang `sarih' (nyata). Jelaslah konsep kebebasan bersuara adalah bukan suatu konsep yang ganjil dan tidak diiktiraf dalam Islam, malahan sebaliknya.

2. Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

3. Sebab penurunan ayat itu ada hubung kait dengan berita dibawa oleh al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’it. Ahmad bin Hanbal, meriwayatkan bersumberkan daripada al-Harith bin Dirar al-Khuza’iy, yang berkata, “Aku bertemu Rasulullah SAW, Baginda mengajakku supaya memeluk agama Islam. Aku menerima ajakan (dakwah) Rasulullah SAW itu dengan memeluk agama Islam. Kemudian Rasulullah SAW mengajakku supaya mengeluarkan zakat, dan aku menerima ajakan itu. Aku berkata lagi: Aku perlu pulang kepada kaumku terlebih dulu, untuk mengajak mereka supaya sama-sama memeluk Islam dan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang menerima ajakanku itu, aku akan memungut zakat daripadanya. Wahai Rasulullah SAW apabila sudah cukup tempoh, maka hantarlah utusan untuk mengambil zakat yang telah dipungut itu.” Apabila al-Harith selesai memungut zakat dan tempoh ditetapkan sudah tiba, maka Rasulullah SAW mengutuskan al-Walid bin ‘Uqbah bin Abu Mu’it kepada kaum Bani Mustaliq untuk memungut zakat daripada mereka. Dalam perjalanan menuju perkampungan Bani Mustaliq itu, al-Walid merasa takut dan gentar. Lalu al-Walid bergegas pulang sebelum sempat sampai ke perkampungan Bani Mustaliq dan membawa berita palsu kepada Rasulullah SAW bahawa al-Harith enggan menyerahkan hasil kutipan zakat itu, malah mengambil tindakan untuk membunuhnya. Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan utusannya kepada al-Harith untuk memastikan kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid. Dalam perjalanan, utusan Rasulullah SAW itu bertemu dengan al-Harith dan rombongannya yang sedang menuju kepada Rasulullah SAW Dalam pertemuan itu, al-Harith bertanya kepada utusan itu, “Kepada siapakah kamu semua diutuskan. Mereka menjawab: Kepadamu. Al-Harith bertanya lagi: Mengapa kamu diutuskan ke-padaku? Mereka menjawab: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengutuskan al-Walid bin ‘Uqbah kepadamu untuk mengambil hasil kutipan zakat. Dia berkata bahawa kamu enggan menyerahkan zakat, bahkan bertindak akan membunuhnya. Lantas al-Harith berkata: Tidak! demi Allah yang mengutus Muhammad dengan kebenaran, aku tidak melihat al-Walid pun dan dia tidak datang kepadaku.” Apabila al-Harith dan rombongannya tiba di hadapan Rasulullah SAW, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu enggan menyerahkan hasil kutipan zakat dan cuba membunuh utusanku. Maka al-Harith berkata: Tidak! Demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran, aku tidak berbuat demikian. Maka turunlah ayat 6, surah al-Hujurat).” (Ibn Kathir) Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah (itu) adalah daripada syaitan.” (Al-Tabariy).

4. Dunia siber bukan dunia tanpa undang-undang dan peraturan. Ia tidak harus menjadi dunia koboi di mana lawlessness bermaharajalela. Kebebasan itu tidak harus disalahgunakan. Tidak ada perlindungan pada pengguna internet untuk menyebarkan fitnah dan hasutan. Banyak negara tidak perlu mendaftar bloggers. Tetapi apapun peraturan yang membabitkan akta, peruntukan undang-undang mengenai fitnah atau libel boleh dikenakan pada mereka yang melanggarnya. Tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang, baik pemimpin, editor, wartawan, juga bloggers. Lebih penting lagi ialah kebebasan di internet itu seharusnya menjadi titik tolak untuk menunjukkan kematangan rakyat dalam menangani kebebasan. Ini peluang terbaik untuk berdialog cerdik, untuk berhujah secara terbuka dan rasional dan untuk membuktikan bahawa kita memanfaatkan medium itu secara waras dan bijaksana. Seorang propagandis pada waktu pemerintahan Adolf Hitler di Jerman menyebutkan pembohongan diulang 10 kali akan menjadi kebenaran. Di dalam internet hari ini, prinsipnya ialah pembohongan yang muncul, disebarkan 10 kali menjadi kebenaran. Kritikan tidak banyak maknanya lagi. Apa yang muncul selalunya ialah maki hamun dan sumpah seranah dengan bahasa yang kesat dan buruk. Emosi berleluasa dan sentimen menguasai hujah. Ada kalanya pelbagai bahan yang jelas memburuk-buruk dan memfitnah orang lain tersebar secara bebas. Internet menjadi lesen untuk menyebarkan apa saja gambar, bahan dan maklumat yang belum tentu betul dan benar.

5. Gejala taksub adalah antara bencana penggunaan blog. Kini blogger yang menyokong PAS bertelagah sesama sendiri kerana mereka taksub dengan sesuatu isu, masing2 berusaha menjadi juara mendedahkan rahsia jamaah atau kononnya pejuang dalaman PAS walaupun mereka tidak berada dalam organisasi PAS. Akibat terlalu taksub dengan PAS juga mengheret sesetengah blogger menjadi pemecah dan penghancur tahalluf siasiy yang PAS bina konon atas nama hidup untuk ‘Islam’. Kini beberapa blogger terperangkap dengan isu-isu yang mereka terbitkan, hanya berjuang menepis tuduhan dan komen luar sahaja, mereka tidak lagi produktif untuk dakwah Islam.

6. Akibat terlalu ghairah populariti, blogger tertentu menggunakan ‘short cut’ untuk terkenal iaitu melalui pendedahan perkara remah, rahsia parti kenyataan yang masih sangsi lagi. Mereka tidak mempu menjadi pengkaji sumber primer seperti yang dilakukan oleh beberapa blogger seperti RPK. Sewajarnya blogger menjadi pencetus isu yang diekstrak dari statistik, indeks, kajian, deklarasi atau kenyataan media yang saban hari bertambah, bukan sekadar menghebah isu picisan untuk meraih hit yang tinggi blog mereka.

Mengapa fitnah blog berkesan terhadap rakyat?

1. Kerana blogger telah menajdi lumrah dan hampir 1/20 rakyat malaysia adalah blogger, bukan sekadar membaca blog! terdapat 13.5 juta pengguna internet di negara ini. Jumlah ini hampir separuh rakyat negara. Kita harus sedar bahawa di antara lebih lima bilion tapak web di alam siber hari ini, 70 juta adalah blog. Di Malaysia sendiri, dipercayai terdapat lebih 500,000 bloggers.

2. Berita dan idea disampaikan boleh diakses 24 jam tanpa halangan.

3. Memiliki kemampuan untuk memaparkan dokumen dan scanning dokumen melalui blog dan ia boleh mempengaruhi pembaca.

4. Kemampuan memaparkan video untuk langkah propaganda lebih jelas.

5. Tanpa menggunakan wang, kini wireless percuma berleluasa, laptop lebih murah dan mampu dibeli.

6. Blogger gemar mengupas isu spekulatif yang kelihatan kritikal walaupun sebenarnya ia adalah isu remeh.

7. Akses antara blogger cukup luas untuk membenarkan maklumat atau fitnah tersebar lebih luas lagi. Setiap kelompok blogger memiliki domain tersendiri.

Tindakan undang-undang dalam fitnah Siber

1. Walaupun Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 (1) (a) memberi ruang luas kepada hak dan kebebasan bersuara di negara kita sebagai satu kebebasan asasi rakyat Malaysia, pengiktirafan itu tetap ada batasan menurut fasal (2), (3) dan (4) agar ia tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat secara keseluruhan. Bukanlah tujuan undang-undang fitnah melarang orang bersuara atau mengeluarkan buah fikirannya.

2. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya bertanggungjawab menyelia infrastruktur sesebuah laman web dan bukan memantau laman web yang menyeleweng. Bagaimanapun, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membolehkan individu yang menyalahgunakan Internet bagi menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik dikenakan tindakan.

3. Di samping itu, Malaysia juga mempunyai akta khusus dalam menangani masalah ini iaitu Akta Fitnah 1957 di mana seseorang itu boleh dihadapkan ke muka pengadilan sekiranya didapati melakukan perbuatan yang boleh merendahkan diri seseorang pada mata masyarakat; tindakan yang boleh menyebabkan seseorang dicemuh, dihina, dibenci dan dikeji; perlakuan yang boleh merosakkan reputasi dalam jawatan, profesion dan perniagaan seseorang; dan bertujuan merosakkan kredibiliti seseorang. Dalam kes Sim lawan Stretch (1936) 2 ALL ER 1237, yang diguna pakai dalam semua kes fitnah di Malaysia yang mana mahkamah di England memutuskan bahawa perbuatan fitnah adalah sebarang bentuk penerbitan kenyataan yang menunjukkan reputasi seseorang dan kecenderungan menurunkan seseorang dalam penilaian ahli masyarakat berfikiran waras amnya, atau membuat mereka menjauhi atau mengelaknya.

Saranan untuk blogger

1. Berusaha mengkaji aspek-aspek parti yang jarang dihebahkan dalam media rasmi Harakah dan sebagainya memandangkan rakyat sukar mendapat maklumat sahih dari media perdana biasa.

2. Blogger berusaha menjadi hub penting untuk menghubungkan rakyat dengan pemimpin PAS agar sebarang keraguan rakyat terjawab dengan efektif.

3. Blogger boleh berperanan untuk menghebahkan sebarang aktiviti kebajikan ADUN di kawasan mereka, malah terdapat ramai calon PAS yang kalah kini bergiat sebagai penyelia DUN dan mereka memiliki tenaga sokongan dari blogger untuk menrbitkan buletin dan kemasini berita yang atif. (rujuk blog warta sungai rapat)

4. Blogger perlu mendalami ilmu agama dan memahami prinsip PAS dalam pelbagai isu. Blogger wajib mengikuti usrah untuk meahami konsep siir wa hazar, mahabbah, ukhuwah dan matlamat perjuangan Islam.

5. Jika ada isu yang bersifat ragu, blogger perlu memainkan peranan sebagai agen perpaduan dan penstabil keadaan untuk membantu pimpinan mengatur langkah. Inilah sikap blogger dakwah yang sebenar.

6. Blogger wajib mempelajari aspek penting penulisan menurut Islam, sejarah penulisan dan sedar diri mereka adalah mewariskan tradisi ulama’ silam yang gemar menulis sesuatu yang sarih, absah dan merungkai kekusutan berbanding tradisi sekular-liberal yang gemar menerbitkan polemik, kontroversi, populariti serta kritikan atas nama kebenaran tetapi mencetus perpecahan ukhuwah Islam.

Kajian : Muhammad Nuruddin Bashah


Tabiat membaca menyempurnakan hidup kita

Oleh: DR. SIDEK BABA

TABIAT membaca ialah suatu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi. Tanpa makanan, ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan hariannya. Seseorang yang mempunyai tabiat membaca yang baik bukan saja mempunyai minat yang tinggi terhadap pengetahuan, maklumat dan ilmu tetapi menyebabkan dorongan untuk membaca tidak boleh disekat. Dia akan membaca di mana saja dan kadang-kadang membaca apa saja. Tanpa bahan yang dibaca dia menjadi resah. Membaca baginya suatu kepuasan. Menerusi pembacaan seseorang dapat menambahkan maklumat, meluaskan pengetahuan, meningkatkan penguasaan ilmu dan memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.

Islam memang agama yang menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Allah kepada Nabi kita ialah 'Iqra' atau 'Bacalah'. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang kepentingan akal iaitu 'Afala ya'qilun' untuk membolehkan manusia berfikir. Jalan mengembangkan pemikiran ialah menerusi membaca. Amalan membaca yang tinggi menjadikan seseorang itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih. Allah juga memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Darjat ilmu boleh didapati menerusi pembacaan. Islam juga menganjurkan umatnya bukan saja membaca sesuatu dari sudut yang tersurat tetapi mengkaji juga apa yang tersirat. Membaca apa yang tersurat saja faedah keilmuannya mungkin terbatas tetapi mendalami apa yang tersirat memberi manfaat yang besar kepada seseorang.

Banyak yang boleh kita andaikan sekiranya remaja hari ini tidak minat membaca. Pertama, remaja akan ketinggalan untuk tahu perkembangan pesat yang berlaku di dunia hari ini. Dunia hari ini berada di bawah telunjuk globalisasi yang menjadikan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau membaca pun menumpukan perhatian kepada hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahyul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, dia tidak mencanai dan mengembangkan ilmu.

Kedua, tanpa bahan-bahan baik yang dibaca, remaja tidak akan melatih diri untuk berfikir dan menganalisis. Generasi yang tidak berfikir tidak akan menghasilkan idea-idea yang bermakna. Dalam buku terkandung sumber maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja. Buku merakamkan idea-idea yang berbagai-bagai, menghimpunkan analisis manusia tentang sesuatu peristiwa atau keadaan dan mencatatkan fakta dan data yang ditemui penulis dan pengkaji terhadap pelbagai perkara. Buku membantu remaja berkongsi, mengetahui dan mendapat jalan ilmu tentang

perubahan dan kemajuan.

Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup. Apabila mendapat bahan yang hendak dibaca ibarat seseorang mendapat teman yang sangat dikasihi. Sebab itu orang Barat dan Jepun mampu menempa kemajuan dan perubahan. Mereka membaca dalam kapal terbang, dalam kereta api, sambil menunggu bas dan apabila ada masa terluang. Membaca dihubungkan rapat dengan kesempatan membaca.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil elok didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang memikat minat mereka membaca. Walaupun pada peringkat awal anak-anak suka melihat gambar atau cerita-cerita yang bercorak kartun, galakan harus diberi supaya anak-anak suka membaca cerita. Lepas itu galakkan anak-anak membaca cerita yang menghiburkannya dan akhirnya apabila tabiat sudah tumbuh berilah anak-anak bahan-bahan bacaan yang memberi maklumat dan menambah ilmu. Apabila anak-anak meningkat remaja, ibu bapa harus rajin membawanya ke kedai buku atau ke perpustakaan. Galakkan remaja menjadi ahli kelab-kelab buku dan sediakan peruntukan bulanan untuknya membeli majalah dan buku-buku yang berguna untuk mengembangkan minatnya membaca. Jadikan kebiasaan apabila anak-anak berjaya, buku dijadikan hadiah.

Bagi remaja, membaca buku teks kadang-kadang menjadi suatu paksaan. Kalau tidak kerana tuntutan belajar dan ingin lulus dalam peperiksaan, buku teks akan terbiar begitu saja. Sesetengah pula berpendapat bahawa setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa remaja dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Para remaja harus memupuk kecenderungan membaca bahan-bahan yang baik dan berfaedah. Apa yang remaja baca ada kesannya pada minda, pada sikap mental malah pada tanggapan dan hobi.

Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Ke-

kuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Ia bermula sejak zaman remaja lagi. Sekiranya para remaja hanya cenderung membaca bahan-bahan ringan semata-mata dan tidak memiliki minat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, maka globalisasi yang sedang kita tempuh bakal menyebabkan kita terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan. Proses negara maju harus seimbang dengan darjah berfikir rakyatnya. Darjah pemikiran rakyat hanya boleh meningkat sekiranya proses mendapatkan maklumat, menguasai ilmu, membandingkan bahan-bahan kajian dan meneliti penemuan-penemuan baru menerusi pembacaan. Pembacaan boleh berlaku sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik seperti internet.

Kekuatan tamadun dalam tradisi Islam antara lain berpunca daripada kegemaran ilmuannya membaca. Mereka membaca tidak saja apa yang tersurat di dalam al-Quran, tetapi membaca apa yang tersirat di dalamnya menerusi kaedah tafsir. Ayat-ayat al-Quran tidak saja ditafsir secara literal ataupun secara luaran tetapi didalami maksud dan hikmah di sebaliknya. Tidak saja ia dibaca untuk dapat pahala atau fadilat tetapi menjadikan intisarinya amalan dan penghayatan.

Para remaja Islam harus bersedia di samping menghafaz dan membaca al-Quran, mereka harus ada kecenderungan untuk mendalami isinya. Ayat-ayat al-Quran ada latar-turunnya (asbabun Nuzul) kerana wahyu itu sendiri tidak turun dalam bentuk tekstual saja tetapi merujuk pada konteksnya atau pada realiti semasa. Kemampuan ulama tafsir ialah menggali intisari yang amat bernilai untuk pedoman manusia. Sebab itulah ramai saintis Islam pada masa yang lalu menghafaz al-Quran pada umur yang awal dan meneliti tafsirnya sebagai pedoman melakukan kajian dan penelitian. Para remaja hari ini boleh menjadikan al-Quran dan tafsirnya yang berbagai-bagai sebagai sumber mendapatkan ilmu dan hikmah. Setiap kalimah al-Quran yang dibaca oleh para remaja akan diberikan ganjaran yang setimpal. Betapa kalau bacaan diikuti dengan memahami isinya, para remaja akan mendapat kekuatan ilmu yang luar biasa sebagai pedoman diri dan bimbingan hidup. Para remaja boleh membaca tafsir al-Quran yang diusahakan oleh Hamka, Ahmad Sanhaji, Departmen Agama Indonesia dan Jabatan Perdana Menteri Malaysia sebagai asas. Kemudian para remaja yang mampu boleh melanjutkan lagi dengan membaca tafsir tulisan Syed Qutb, Yusof Ali, Muhammad Assad, Ibn Kathir, al-Qurtubi dan banyak lagi. Membaca pelbagai tafsir tidak saja memperkayakan khazanah fikir tetapi menyuburkan lagi talian zikir.

Upaya fikir dan talian zikir para remaja harus kuat. Upaya fikir membolehkan remaja memiliki kekuatan akal untuk dikembangkan. Ilmu yang bernilai daripada al-Quran membolehkan para remaja memiliki tabiat mendapatkan ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat yang dipimpin oleh Allah. Upaya zikir membolehkan remaja memohon petunjuk dan hidayat daripada Pencipta. Apa yang remaja fikirkan dengan kekuatan akalnya dan bentuk zikir yang menghubungkan dirinya dengan Allah, membolehkan remaja mendapat pedoman dan ilmu yang mempunyai hikmah.

Asas fikir dan zikir dalam erti kata yang luas mampu membina tradisi membaca yang tinggi di kalangan remaja kerana yang dibaca adalah sesuatu yang berguna dan sumber yang dibaca adalah saluran petunjuk yang membolehkan budaya 'iqra' menyebati dalam jiwa dan hati, dan itulah maksud membaca yang diredai Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...