Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Wednesday, June 17, 2009

Budaya 'alien' ialah budaya membaca

Satu hari saya pergi minum kopi di kedai White House Kompleks KBJ Pulau Pinang. Bersama saya adalah satu ‘beban’ buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan USM. Buku-buku berkenaan adalah berkaitan sejarah dan perjuangan tulisan jawi serta beberapa buku mengenai pemikiran dan ideologi.

Ketika membayar bil, pekerja wanita muda yang menjaga kaunter menegur saya ,“ Adik buat assigment ke?” . “Adik ni dari USM ke?” “Kak dulu juga dari USM…bawak buku macam tu lah…bila buat assigment”. Saya angguk saja tak tahu nak cakap apa.

Bila pulang, saya terfikir.

Masyarakat Malaysia dikatakan hanya membaca dua buku secara purata selama setahun. Minda orang Malaysia terutama Melayu, amat janggal dengan buku hingga ada peribahasa “ ulat buku”. Sama ada ia membawa konotasi positif atau negatif, ia adalah fleksibel.

Masyarakat kita (terutama Mahasiswa atau bekas mahasiswa) akan terus anggap si pemegang buku-buku, atau mengelek buku ke sini ke mari, atau pegang buku semasa pergi ke kenduri sebagai budaya mahasiswa yang sarat otak untuk siapkan tesis atau tugasan.

Membaca kerana terpaksa.

Jika ini tabiat kita, diwariskan pula kepada anak-anak, bagaimana generasi kita kelak?

Bahaya! Masyarakat Malaysia dalam bahaya!

Saya menyarankan kepada mahasiswa yang gemar mengkaji dan membaca….bawalah buku ke mana sahaja anda pergi. Saya tidak membawa buku popular. Saya bukan penggemar penulis tertentu yang terkenal dan apabila semua beli bukunya baru saya beli.

Saya suka buku akademik. Kerana saya kaji isu. Tanpa siapa suruh, saya akan buat sendiri kajian atau kertas kerja untuk ‘disimpan’ jika berguna ‘pada suatu hari nanti’. Ini persiapan saya. Tanpa tujuan khusus. Sekurangnya…anak saya akan membaca dan disajikan dengan kertas-kertas kerja ilmiah yang saya sediakan tersebut.

Bila ada satu isu, atau tema, atau sistem, atau fenomena yang tidak saya ketahui, tidak saya kuasai atau belajar, maka saya akan mengumpul sejumlah buku untuk mendalami isu itu. Tidak mengira pengarang. Bahasa Melayu atau Inggeris. Jadi saya suka buku….kerana ia ada ilmu, jelas isu. Bukan kerana siapa karang, bukan kerana tugasan dan tesis wajib….ia tesis saya sendiri.


Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak.
18 Jun 2009
7.29 pagi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...