Disiar dalam Pelita Bahasa (DBP) Julai 2012
Isu Penggunaan bahasa pada papan Tanda Premis Niaga
sejauh mana keseriusan kita?
Membaca makalah bertajuk Gulai Itik dan Pak Loong di Jitra
yang dimuatkan dalam Majalah Pelita
Bahasa April 2012 membawa minda penulis kepada persoalan lama yang kerap
bermain di fikiran penulis.
Isu yang diketengahkan oleh
Shazlin Farhan berkenaan ejaan rojak, penggunaan bahasa campur malah
mengagungkan istilah dan diksi perkataan yang berunsur barat adalah sebenarnya suatu
petanda kegeringan budaya berbahasa di kalangan rakyat negara kita.
Malah penulis tidak melihat
sebarang perubahan memberansangkan terhadap isu sebegini walaupun terlalu
acapkali diutarakan dan digesa oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka melalui pelbagai
majalah serta kempen yang dikeluarkan.
Penulis bersetuju para peniaga
dan pemilik premis sebarang perniagaan sewajarnya merujuk Dewan Bahasa dan
Pustaka sebelum menempah papan tanda nama syarikat premis mereka. Malah rujukan
elektronik Siri Lembar Bahasa yang boleh dicapai melalui laman sesawang DBP
memang semestinya bermain dihujung jari para peniaga yang mengaku sebagai
warganegara malaysia.
Namun begitu, realitinya
adakah suara yang kita laungkan singgah di cuping telinga para pemilik premis?
Majalah ilmiah DBP masih jauh malah terlalu asing untuk berada di atas meja
kopi taukeh-taukeh premis seperti itu.
Penulis cukup optimis dengan
usaha penguatkuasaan undang-undang dan tindakan eksekutif berbanding hanya ulasan ilmiah yang hanya
menunggu tenggelamnya bahasa Melayu di negara bangsanya sendiri.
Lantaran itu, penulis
menyarankan agar keperluan merujuk DBP bukan sekadar saranan, ia sepatutnya
digazetkan atau diserap dalam undang-undang pendaftaran nama syarikat. Kempen dan arahan tegas pihak kerajaan perlu
diperluas di dalam media akhbar perdana negara di samping dalam media
elektronik. Penulis sedih melihat kempen-kempen bahasa kebangsaan hanya diiklan
dan malah hanya dihebah di dalam majalah DBP atau sekadar di perpustakaan awam
setiap negeri sahaja. Alangkah bahagianya jika kempen dan saranan tegas
kerajaan berkenaan penggunaan bahas dan nama premis syarikat dimuatkan dalam
media massa harian, dihebahkan dan dikuatkuasakan.
Isu penggunaan bahasa
kebangsaan pada papan tanda premis perniagaan belum menjadi isu politik
mana-mana parti baik pemerintah mahupun pembangkang. Mungkin kerana itulah isu
ini ‘lemau’ dan longlai berbanding isu-isu lain yang lebih bersifat komersial,
ekonomi dan kontemporari berbanding isu teras budaya yang memberi makna kepada
sebuah negara bangsa sebegini.
Selain itu penulis juga
merasakan suatu perenungan semula untuk memastikan setiap majalah ilmiah DBP
menjadi pilihan setiap rakyat sama hebat dan sama popular seeprti majalah
ilmiah atau separa ilmiah lain seperti Milenia, Majalah I, Al Islam, Solusi dan
sebagainya. Sudah sampai masanya misi menjadikan majalah DBP sebagai majalah
pilihan wajib bagi pemilik premis perniagaan sebagai contohnya, bukan sekadar majalah pilihan para pelajar,
siswa, atau tokok akademik sahaja.
Muhammad Nuruddin Bashah
No comments:
Post a Comment