Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Wednesday, July 1, 2009

Komentar Bahasa: Gunalah Bahasa Melayu Sepenuhnya

Komentar Bahasa: Gunalah Bahasa Melayu Sepenuhnya

Bahasa melayu telah diperjuang hebat sebelum kemerdekaan serta berlarutan hingga kini. Perjuangan ini menatijahkan terselitnya bahasa melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan peruntukan hak ini tidak hanya begitu sahaja malah diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963, Akta Pendidikan 1996, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Sastera Kebangsaan. Inilah hasil keperitan budayawan dan bahasawan silam dan terkini untuk mewujudkan Bahasa ini sebagai bahasa eka malah ia dijadikan budaya, keperluan dan norma dalam kehidupan.

Pada pandangan saya, walau sejauh mana sekalipun perletakan bahasa ini dalam kegunaan rasmi, atau dijadikan dasar rasmi, ia masih perlu melalui suatu proses penataran dan dinaiktaraf menjadi suatu entiti baru iaitu ‘bahasa keperluan’. Maksud keperluan pada pandangan peribadi saya ialah bahasa ini diperlukan untuk hidup yang meliputi aspek perniagaan, pendidikan tidak rasmi, pengurusan dan juga meliputi masyarakat tanpa mengira taraf dan status kehidupan.

Hari ini kita melihat sendiri bahasa ini menjadi rojak, celaru dan slanga hanya kerana sikap kita yang meranapkan korpus bahasa sendiri tanpa kita sedari. Melalui mesej pesanan ringkas yang saya terima daripada Prof. Emeritus Abdullah Hassan pada hari ini 1 Julai 2009, beliau mengumpamakan penggunaan bahasa di kalangan rakyat kita sebagai penggunaan yang compang-camping. Saya bersetuju dengan pandangannya.

Untuk komentar kali pertama saya melalui Majalah Pelita Bahasa ini, saya ingin mengajak masyarakat kita memulakan proses penggunaan bahasa yang betul melalui sistem pesanan ringkas telefon mudah alih (SMS) terlebih dahulu. Menurut Mohamed Pitchay Gani dalam ceramah Evolusi Bahasa Melayu sempena Unvision 2000 anjuran 4PM pada 17 November 2000, gejala akibat evolusi bahasa slanga sistem pesanan ringkas mengakibatkan gejala seperti pemelatan kata-kata, kata-kata bersifat irama, serta pemendekan istilah. Hari ini kita melihat sendiri masyarakat mencampur aduk kalimah bahasa Melayu dengan kalimah Inggeris malah diburukkan lagi dengan penjelmaan bahasa budaya SMS yang menular dikalangan muda-mudi kita.

Saya cuba mendisiplinkan diri untuk hanya menggunakan bahasa melayu dalam sistem pesanan ringkas saya kepada rakan-rakan dan seumpanya. Jika di tempat kerja saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, saya akan menulis sistem pesanan ringkas (SMS) saya dalam bahasa Inggeris sepenuhnya tanpa dirojakkan. Inilah disiplin permulaan yang boleh kita hebahkan dan terapkan bersama-sama. Saya optimis sekiranya dimulakan langkah awal yang ringan sebegini, tidak mustahil, bahasa ini akan melonjak naik ke satu tahap yang baru iaitu menjadi ‘bahasa kebanggaan’ dan bukannya sekadar bahasa kebangsaan.

Muhammad Nuruddin Bashah
Jurutera Metallurgis
Setiausaha TERAS Perak


#Dihantar kepada Pelita Bahasa

2 comments:

matali said...

Persoalannya, masih tidak menyeluruh dalam kalangan rakyat kita yang menghayati bahasa kebangsaan sebagai bahasa ibunda mereka.

Bahasa ibunda kepada rakyat yang mengaku mereka warnegara setia negara Malaysia.

Apa yang disedari mereka ialah bahasa ibunda mereka hanyalah bahasa etnik masing-masing. Transformasi pemikiran inilah yang agak sukar direntasi.

jihadin82 said...

Benar, tambahan pual ada segelintir dari kaum bukan melayu menganggap perlembagaan memaksa mereka mengaku BM sebagai bahasa ibunda mereka sedangkan tujuan penguasaan bahasa ini dgn baik adalah untuk menghapus salah faham dan pertembungan budaya dan pemahaman. Tambahan pula, ada golongan bukan melayu yang sanggup berhabis wang untuk fasih BI, sebaliknya lintang pukang dalam pemahaman bahasa tanah yang mereka duduki. Begitu juga kaum melayu yang lupa kedaulatan rantau melalyu bahasa sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...