Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Saturday, December 8, 2007

dapat kitab baru...



Semasa mengikuti Diploma Perguruan Musleh, saya berkenalan dengan seorang guru baru dari Sekolah Al Islah Sungai Petani. Bolehlah dikenali sebagai Ustaz Amri….

Beliau Hadiahkan saya kitab tafsir Al Wajiz, karangan Dr. Wahbah Az Zuhaili daripada Syiria. Beliau yang baru pulang belajar di syiria pernah belajar talaqqi tafsir berkenaan dengan Dr wahbah sendiri. Jadi saya sekarang belajar pula dengan Ustaz Amri ni…

Saya kemudiannya diberi pula kitab Tarikh Al Khulafa’ karangan Kitab Imam as Sayuti. Kitab yang setanding dengan kitab tarikh karangan Imam At Tabari ini juga akan dipelajari oleh saya dengan ustaz Amri ini….

Kemudian saya beli kitab Al Ahkam As Sultaniyyah karangan Imam Mawardi cetakan Kaherah Mesir 1966. Sekarang saya mentelaah kitab ini dnegan bantuan ustaz….

Alhamdulillah….disamping dapat ilmu perguruan di Sg Petani ni..saya juga dapat guru-guru baru yang komited untuk mengajar sesiapa sahaja yang sudi berbahas dnegan mereka….bukan itu sahaja….saya juga kini bertambah memiliki kitab rujukan bahasa Arab….terima kasih ustaz..terima kasih MUSLEH….

Pendita Bitara

November 2007

Zionis VS Yahudi


Pendapat Roger Garaudy

Seronok rasanya dapat mengikuti kuliah Diploma Perguruan Musleh di sg Petani bulan ini. Antaranya ialah kami didedahkan dnegan buku dan bahan bacaan yang hebat dan tinggi. Saya tidaak melepaskan peluang untuk ‘mentashihkan, pembacaan saya selama ini dnegan Ustaz Ahmad daud (pensyarah Pengajian Islam UITM Arau).

Apabila masuk topik tentang yahudi, saya cuba bertanyakan tentang pendedahan Roger Garaudy mengenai isu Zionis dan Yahudi sama ada ada kesamaan atau jauh perbezaannya. Menurut Garaudy dalam bukunya mengenai isu Zionis, beliau menafikan gerakan Zionis sebagai mewakili keseluruhan gerakan yahudi. Tidak semua yahudi terlibat dengan kezaliman dan idea untuk ‘mensemitkan’ keseluruhan peta arab dan Eropah. Terdapat golongan yahudi orthodok yang menetang agenda Zionis yang sengaja mencanagkan idea Kuil Solomon, Isu haikal, isu bukit Zion dan sebagainya atas nama agama untuk kepentingan politik bangsa Yahudi sehinggakan mereka yang bukan berketurunan Israel tetapi menganut yahudi juga memanipulasikan isu agama yahudi.

Saya cuba kaitkan dengan ayat ‘tidak akan redho ke atas kamu Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut ‘agama’ mereka”, dengan kenyataan Graundy itu. Ternyata Ustaz terus menjawab. Golongan yahudi di zaman Rasulullah belum lagi mengikuti gerakan Freemason dan Zionis. Tetapi mereka terus menerus melancarkan serangan terhadap Rasulullah baik secara berdepan (Perang Ahzab, Perang Khaibar) mahupun kaedah silent movement ( munafiqun, Syiah dan Khawarij). Gerakan mereka licik dan halus. Barulah saya sedar dan berasa betapa perlunya usaha melawan cengkaman yahudi dilakukan walaupun unsur kemanusiaan terhadap rakyat Israel yang tidak berdosa juga tidak boleh diabaikan….itulah prinsip jihad Islam..kata ustaz…..

Pendita Bitara.

KG TERANG Balik Pulau

8/11/2007

Buku Khidmat Wanita Islam dalam masyarakat


Judul: Khidmat Masyarakat; Peranan wanita Di Zaman Rasulullah SAW.

Pengarang: Prof. Madya Dr. Layth Su’ud Jasim

Terbitan: Pustaka Salam

Mukasurat: 116


Ulasan:


Meneliti hujah dan argument golongan Liberalis mutaakhir ini, mereka menjadikan agenda gender dan feheminisme sebagai bahan utuk mereka isukan. Hujah yang berbau ancaman dan terjahan terhadap sistem syariah Islam ini memerlukan para pendakwah yang faham dan menghayati sistem perlindungan Islam terhadap wanita.

Perlu diketahui, sikap merendahkan taraf wanita yang berlaku dalam lingkunga sejarah ketamadunan Islam adalah dilakukan oleh ‘pemerintah Islam’ dan bukannya dating daripada sistem Islam itu sendiri. Manipulasi isu oleh orientalis tertentu perlu diperbetulkan kembali. Jadi sila baca untuk penghayatan anda…..


Pendita Bitara : rasa best bila berada di Perhimpunan Nasional JIM baru-baru ini..banyak buku ilmiah dijual….buku ini saya beli di sana…..

Tuesday, November 13, 2007

Demostrasi..buku jangan lupa....

Demostrasi..tapi buku jangan tinggal…

10 November yang lalu….himpunan 100 000 rakyat untuk bertemu tang Dipertuan Agong telah diadakan….Kali ini pertama kali saya mengikuti himpunan rakyat bersama orang-orang kampung. Walaupun rombongan kami dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan balik Pulau, tetapi ramai juga golongan ‘emas’ yang hadir. Tambah menyemarakkan lagi semangat kami adalah apabila golongan veteran ini turut membawa isteri mereka !! Haji Rashid Jalan Bahru (Pak Tam Kole) yang terbongkong-bongkok (anak sulungnya berumur 50 tahun) turut hadir sambil memakai songkok hitamnya….mulut terkumat kamit memaki hamun helekopter polis yang membuat bising di kepala kami pada hari bersejarah itu. Tentera-tentera kuning seluruh negara itu juga diiringi oleh tentera merah Unit Amal yang setia menjaga keselamatan kami.

Cukup dahsyat….tanpa tamrin dan usrah..golongan tua ini nampaknya lebih menonjol dalam rombongan kami berbanding golongan muda yang mungkin takut atau ‘tak ada duit’ nak pergi…..mahasiswa? Nasib baik ada ketumbukan kampus….Graduan? Ada yang dah tepu dengan demo kata mereka….tak apa..apa alasan sekali pun….Tuan haji Mohd Bin Sabu mengatakan….kalau tidak memberi sokongan kepada Tuan Guru Abdul Hadi dan rakan seangkatan beliau untuk MEMBERSIHKAN PR kali ini….kita lebih teruk dari Sami Buddha…ya Di Myanmar golongan Sami adalah golongan 'front line' dalam demostarasi menunutut keadilan demokrasi…..Tok Imam kita? Bilal? JKKK?....nun takjub dengan KLCC…ntah tahu ke tidak apa ada dalam sana….

Sepanjang berjalan….sepanjang dalam Komuter….saya tidak tinggalkan Buku Kajian Pemikiran Sejarah Ibnu Khaldun. Buku Indonesia setebal 200 mukasurat itu saya telaah dengan sabar dan minat..walaupun suasana agak kelam kabut..rombongan kami macam biasa…buat lawak gelak sendiri dalam Komuter…cakap utara kuat-kuat….meriah….

Buku adalah santapan minda dan jiwa..membaca buku..jiwa jadi tenang dan sibuk sendiri dalam dunia kita…dalam kesibukan kotaa pada hari itu…saya dah terbang ke zaman abad ke 14 untuk mengikuti kelahiran Ibnu Khaldun di Tunisia….beliau yang berbangsa Hadhramaut Yaman telah menjadi penduduk tetap Andalus dan wafat dengan kitab Al I'bar nya di Mesir…..

Dalam Al I'bar dan Muqaddimahnya, tiada kes-kes demostrasi apabila kezaliman raja berlaku. Kenapa? Kerana za,man dahulu mereka terus bunuh atau perang dengan raja mereka. Zaman ini kita membunuh ke? Tidak hanya berhimpun tanpa senjata, dnegan niat untuk menunjukkan protes dan menyeru yang lain agar bersimpati dan membantu kita menuntut keadilan….itu sahaja…..salah kah?.....

Membaca…menguatkan minda..membaca..menjustifikasikan aktiviti kita…..

Pendita Bitara
Al Islah 14 November 2007

Friday, October 26, 2007

Perangai bergantung pada diri sendiri


Tajuk : Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri
Pengarang : Pendita Zaa'ba
Terbitan: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
Mukasurat: 103
Harga: RM 5

Ulasan:

Pendeta Zaaba menyindir sikap pesimis dan malas orang melayu. Melayu telah lama kerasukan unsur jabariyyah. Melayu terlalu manja dnegan subsidi dan termanja di bawah naungan daulat sultan. Beliau membawa idea progresif yang amat baik untuk kita teliti bersama. Sikap Pendita yang tidak berkompromi dengan nilai historis dan nostalgis orang melayu kelihatan cukup berani.

karya ini wajar diteliti dengan adil dan saksama. Namun begitu ada beberapa idea beliau yang tidak saya setujui. lihat :
http://munawwarah.blogdrive.com./

Walaupun ada yang menggelar beliau sebagai neo muktazilah dalam membawa idea qadariyyah, saya tetap menilai pendapat beliau sebagai suatu dielektik terhadap sosio budaya melayu pada zamannya dan amat wajar.

Pendita Bitara
27 Oktober 2007

Sunday, October 21, 2007

Imam

Tajuk: Imam
Pengarang: Abdullah Hussain
Terbitan: Utusan Publication
Ulasan:

Haji Mihad, seorang Imam yang menerima tempiasan reformisme agama di Indonesia...membawa elemen reformisme agama di kampungnya. Menerima tentangan daripada pendudukan kampung yang dengkikannya akibat harta dan materialisme. Akan tetapi beliau mendapat banyak sokongan ramai akibat pemikiran agama beliau yang progresif, relevan, berfalsafah kebenaran dan aliran salafi. Akan tetapi saya tidak bersetuju dalam hal beliau berhujah tentang pengharaman penggunaan istilah 'kalau' dalam agama. Kelihatan pengarang membawa konotasi istilah yang salah dalam penggunaan yang diharamkan oleh agama. Beliau cuba membawa logikal dalam setiap isu sebagai contoh, jika semua keadaan orang guna tulisan rumi kenapa perlu guna tulisan jawi dio Masjid hakikatnya tidak akan merubah apa-apa dalam masyarakat. Sikap optimistik dalam menilai setiap perkara kelihatan agak gopoh oleh Imam baru ini walaupun dalam beberapa hal perubahan seperti latihan sukan dan tadika dipperkarangan masjid adalah suatu yang positif telah dilakukannya.
Walau apapun..silalah baca dan cuba kritik pendapat Haji Mihad jika anda berupaya....
Pendita Bitara
21 Obtober 2007
SRI Al Islah

Hari-Hari aku dizalimi

Tajuk : Hari-hari aku dizalimi


Oleh: Dr. Burhanuddin Al Helmi


Terbitan : PAS Gombak


Mukasurat: 151


Ulasan:


Pejuang kemerdekaan yang dipinggirkan. Disisih dan dilempar dengan kalungan bunga fitnah.
Beliau adalah pejuang nasionalisme melayu yang berteraskan agama dan moral telah dianggap pejuang exile goverment tajaan beberapa gerakan sosialis nusantara. Dituduh sebagai ketua subversif pada zaman Tunku, diperlaku seperti binatang hanya kerana beliau mempunyai pengaruh dikalngan melayu SEDAR yang terdiri bukan sahaja dikalngan marhain malah intelegensia melayu Indonesia, Brunei dan Tanah Melayu. Dr. Burhanuddin bukan sekadar boleh menarik minat ulama' dan golongan reformis agama, tetapi juga tenokrat dan korporat, golongan guru dan pendidik, golongan sosiolis dan pragmatis malah beliau amat terbuka dalam pelbagai segi demi kemerdekaan dan keterbukaan minda melayu muslim..beliau meninggal dunia selepas beberapa bulan dilepaskan dari penyeksaan penjara.....


Pendita Bitara

21 Oktober 2007

SRI AL Islah

Sunday, September 2, 2007

25 tahun merdeka

Tajuk : 25 Tahun Merdeka

Pengarang : Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris

Terbitan : Penerbitan Pustaka Budiman Kuala Lumpur

Muka surat : 552 halaman


Genre : Ilmiah


Ulasan :


Seorang tokoh pejuang tanah watan Negeri Sembilan, Abdul Samad Idris telah berjaya menulis buku yang menjadi salah satu buku wajib untuk dibaca pada saban tahun menyambut kemerdekaan. Buku yang dihasilkan ini cukup harmonis dan adil dalam menilia sejarah walaupun beliau merupakan salah seorang tokoh politik negara. Beliau sedaya upaya memberi gambaran penuih perjuangan kemerdekaan dan memberi view awal berkenaan asal usul melayu.


Beliau juga cuba menggambarkan statafikasi masyarakat melayu serta perbezaan dan kesamaan paradigma mereka. Sikap mereka yang pesimis dengan kejayaan silam, termakan gula-gila British sehingga hilang daya juang dan amanah watan dikupas oleh beliau.


Saya menyarankan agar naskhah buku ini dicetak semula secara meluas seperti percetakan buku Revolusi Minda oleh Abdul Rahman Senu dahulu. Buku ini ada nilai pertanggungjawaban dalam setiap isu yang diutarakan.

selamat Membaca.


Pendita Bitara


Pesan Pendita : Rerajin pergi ke Kedai Koperasi DBP..banyak buku bernilai yang murah. Pastiakn buku-buku tersebut menjadi sebahagian koleksi peribadi kita....

Monday, August 6, 2007

Novel Kebangsaan

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita, saya ada mencadangkan agar pembaca semua membaca dan meneliti 2 novel sastera politik yang saya senaraikan di bawah. Novel-novel ini membawa isu erti dan peri patriotisme dalam 2 versi, 2 persepsi, 2 pengalaman dan 2 implikasi yang berbeza. Selamat membaca.......


Genre : Novel separa politik

Tajuk : Sisa
Pengarang : R. Hamzah Dua
Terbitan: Dewan bahasa Dan Pustaka 1996
Muka surat: 203


Ulasan :

Sisa menceritakan tentang erti merdeka bagi kita golongan muda yang hanya menilai merdeka dan erti hari merdeka dengan bendera, slogan dan laungan merdeka, perarakan dan pertunjukan seni yang mencerminkan kemerdekaan dan mungkin yang lebih jijik melalui arak dan wanita di Dataran Merdeka.

Sisa menceritakan jeritan hati sebahagian kecil tokoh dan penyumbang kemerdekaan yang disisihkan daripada sejarah samada tokoh haluan kiri, kanan atau yang bersifat keagamaan. Ramai yang dinafikan perjuangan mereka kerana sejarah kita diambil sumber daripada sarjana barat dan terlalu banyak dokumen penting dan catatan sahih perjuangan di Malaya dahulu dimusnahkan oileh British dan kemudiannya Jepun. Akan tetapi mulut melayu tidak selamanya boleh menyimpan dendam dan rahsia. Mereka mula memperkata kembali, mengungkit kembali sejarah benar kemerdekaan walaupun nilaian yang ada tidak diiktiraf oleh sarjana akademik kerangka barat.

Saya seingin memaksa pembaca sekalian agar mempunyai persepsi sendiri berkenaan merdeka dan perlu lebih luas dalam menghargai semua pihak. Walaupun banyak sumber perjuangan silam di dapati melalui lisan semata-mata akan tetapi sedarlah kita bahawa semua dokumentasi dan kronologi yang tercatat telah dimusnahkan oleh para penjajah.

Politik bukan sekadar pilihanraya. Politik bukan sekadar gila kuasa.....politik adalah sunnah alam dan fitrah manusia..politik membawa keamanan sejagat kerana dunia perlu dipimpin agar kita tidak dipimpin dunia....

Selamat membaca.....

---------------------------------------------------------------------------------


Genre: Novel sastera politik

Tajuk : Tangisan Bangsaku
Pengarang : Arifin Ngah
Terbitan : Utusan Publications
Muka surat: 341

Ulasan :

Orang melayu memerangi Inggeris kerana cukai? Orang melayu tamakkan harta dan takhta semata-mata? Melayu manusia yang tidak memandang kepada kedaulatan jika ditukar dengan segala isi sarwa dunia?

Inilah tuduhan dan tesis yang mungkin anda semua dapati jika membaca penulisan daripada orientalisme dan lebih malang lagi, intipati sebegini dimuatkan ke dalam buku-buku ilmiah dan akademik negara kita.

Golongan milenerian (agama) berjuang kerana agama !! Mereka adalah pendokong rangkaian kekuasaan Islam dari Uthmaniyyah hingga ke rantau Melayu. Orang Islam di tanah Melayu cakna dengan senario kedaulatan yang tergugat, syariat yang dicalari, maruah yang dilacuri oleh penjajah secara halus dan terperinci.

Melayu berperang dengan melayu, Inggeris berpeluk tubuh. Melayu tamak mula meminggirkan ulama' dan mengagungkan penjajah.

Tidak boleh kah kita menerima kemajuan? Boleh ......lihat sahaja Jepun, Siam..tanpa dijajah, mereka tetap boleh mentransaksikan ilmu dan teknologi barat ke dalam negara mereka..mengapa perlu adanya penasihat dan Residen dalam negara ini?..kenapa begitu singkat pemikiran sang raja dan kerabatnya?..kenapa perlu bergaduh sesama penghuni Istana dan dijadikan British sebagai tempat adu?.....Alangkah sedihnya....

Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, lambang sejati perjuangan ulama' Terengganu........lambang kesetian kepada istana demi agama.....

Tuesday, July 31, 2007

Sejarah Melayu; Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India



Genre : Kajian Ilmiah


Tajuk : Sejarah Melayu; Kesan Hubungan Kebudayaan Melayu dan India


Pengarang : M. Rajatheran (UM)

Muka surat : 255

Terbitan : Dewan Bahasa Dan Pustaka 1999

Ulasan :

Sebelum kehadiran ulama’ Islam mengislamkan masyarakat Melayu melalui perdagangan, penyebaran kesusasteraan, perkahwina dan politik, masyarakat Melayu terlebih lama menerima adapt, agama dan sistem kehidupan daripada benua India. Rumpun melayu diwarnai dengan unsur spiritual Hindu , panteisme yang cocok dengan animisme setempat pada ketika itu serta nilai kesusasteraan yang bernilai estetik seperti jiwa dan norma Melayu itu sendiri.

Terlalu banyak istilah bahasa yang menerima pengaruh Sanskrit dan Hinduisme di dalam bahasa kita kini. Perbendaharaan kata yang kaya ini telah lama mengeratkan hubungan antara bangsa Melayu dan India di Tanah Melayu ini. Lantara itu penerimaan agama Islam melalui pengaruh Istana Melaka, Acheh, Pasai dan Johor tidak membuang terus banyak adat dan norma sosial Hindu dalam masyarakat Melayu.

Dalam kesusateraan pula menampilkan lagenda dan mitos hinduisme dalam Sulatus Salatin, serta konsep Deva Rajah dalam institusi monarki Kesultanan Melayu. Akan tetapi masyarakat melayu mengimbangi konsep Deva Rajah yang bersifat teokrasi ini melalui institusi mufti dan ulama’ istana.

Sebenarnya India merupakan jambatan ketamadunan Rom (barat) ke dalam dunia Islam. Sejarah Parameswara yang dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain bukanlah Iskandar Zulkarnain( Sultan) yang adil seperti yang diceritakan dalam Al Quran itu. Akan tetapi berasal daripada keturunan Alaxender The Great Yunani Mecadonia dahulu. Ini terbukti apabila India turut mengimport serta mengeksport barangannya ke Rom.

Pendita Bitara

31 Julai 2007

Pesan Pendita : Beli buku jangan lupa kongsi dengan kawan….

Wednesday, July 25, 2007

1515



Genre : Novel sastera


Judul : 1515



Pengarang : Faisal Tehrani



Mukasurat : sekitar 100



Harga : RM 22.00 Terbitan : Utusan Publication

Sumber : Kedai atau buat macam saya…pergi ke perpustakaan.


Ulasan;

Ada 2 watak Nyemah Mulya yang dinyatakan. Satu watak zaman kini serta watah Nyemah Mulya pada zaman silam. Kewujudannya adalah berkemungkinan ada kerana teralu banyak sejarah Melaka yang diambil bulat-bulat daripada Tome Pires dan surat-surat Alfonso kepada Raja Portugal iaitu Raja Manuel.


2 situasi yang diandaikan iaitu keadaan realiti apabila Melaka benar-benar dihapuskan oleh Portugis dnegan satu situasi apabila Melaka berjaya menawan Portugal. Situasi ini membawa semangat patriotik dan sedar secara imaginatif bahawa Melayu boleh menjajah barat jika kena dengan usaha dan caranya memandangkan barat pada waktu itu masih berada di dalam zaman gelab lagi. Cukup memalukan apabila hampir 10 000 tentera Melaka yang lengkap dengan senjata lama dan moden daripada Turki tidak dapat mematahkan seranagan Portugis yang hanya beberapa orang sahaja.

Persiapan penulis untuk menghasilkan karya sastera imaginatif ini pada saya adalah cukup berat dan rapi. Jika kita tidak pernah mendengar sejarah Melaka, kita mungkin akan tebawa oleh penulis bahawa ada kemungkinan Melayu pernah memenangi peperangan dnegan pihak eropah.


Walabagaimanapun, Faisal Tehrani adalah penulis bervisi dan sebenarnya tujuan beliau adalah membawa tesis perjuangan menentang kezaliman serta unsur sinikal dengan realiti kini di mana yang adil akan disanggah, yang zalim akan disembah...


Pendita Bitara

26/7/2007


Friday, July 20, 2007

Baca..baca lagi....

Baca buku..baca buku…tulis sikit-sikit..baca lagi….

Sebelum tidur mesti saya membaca buku….

Kalau kerja sambil naik bus atau LRT..lagi bagus..sebab senang nak bawa buku atau majalah..membaca dalam LRT dan bus tanpa pedulikan orang di sekeliling…

Dulu masa di sekolah..selalu study hanya dalam bus..sebab di sekolah tak belajar sangat pun….

Ada rakan di sekolah tempat saya mengajar kini bertanya, mengapa saya suka menulis sesuatu dalam buku? Suka membawa buku ke mana sahaja saya berada? Saya katakan saya suka menulis dan membaca. Bila ada usrah sekolah dikalangan guru, saya katakan marilah kita semaikan budaya mebaca di kalangan guru dan murid.

Pada waktu pagi saya akan mengajar Al-Quran sebelum kelas sains. Jadi saya ambil kesempatan, saya juga membaca buku sambil mengajar Al-Quran. Kelas Al-Quran kami saya pilih di Perpustakaan sekolah. Setengah jam baca Al-Quran, siapa dapat baca lancar saya benarkan baca buku cerita atau ensiklopedia. Jadi, membaca dijadikan sebagai ganjaran kepada mereka. Budak-budak paling suka kalau sesuatu itu dikatakan sebagai hadiah. Bagi mereka peluang membaca juga adalah hadiah.

Sekali membaca, pada waktu malam saya guna 4 jenis buku termasuk novel dan buku isu semasa, kitab jawi atau tafsir. Baca sedikit-sedikit setiap buku. Buku di sekolah lain dengan bahan bacaan di rumah. Kehidupan dengan buku memang menyeronokkan. Kalau tidak percaya…cuba semai daripada sekarang..pastikan ada mini library di sekitar kita.

Pendita Bitara
Makmal Komputer
SRI Al-Islah P. Pinang

Melukut Kota

Genre : Novel
Judul : Melukut Kota

Pengarang : Azizi Haji Abdullah

Mukasurat : sekitar 100

Harga : RM 6.90Terbitan : Creative Enterprise

Sumber : Kedai buku, order terus daripada syarikat Creative http://main.cesb.net.my/home/index.php yang banyak terbitkan novel sosial atau buat macam saya…pergi ke perpustakaan.


Ulasan;

Di celah kepesatan sebuah kota Di Utara tanah air, terperosok sebilangan hamba kota yang saban hari menerajui hidup berpandukan kudrat dan hati. Kehidupan beragama? Mungkin ada yang dekat dan mungkin ada yang tidak akan dekat dengan klausa tersebut.

Meneliti kehidupan realiti masyarakat melayu, mentaliti melayu yang berfalsafah “ alah janji aku boleh makan…janji akau ada rumah” secara terperinci. Penulis Azizi juga berjaya merungkai bahawa melayu juga ada yang tidak menjaga tepi kain orang. Sungguh !! tidak langsung menjaga tepi kain orang….

Nilaian hidup seorang manusia….yang jika diteliti seperti tiada halatuju hidup…kesian?...benarkah kita mengetahui mereka berada di sekeliling kita?



Pendita Bitara

20/7/2007


Pesan Pendita : Amalkan minum air sambil membaca…terutama teh halia atau air kosong.

Wednesday, July 11, 2007

Novel Ayahanda

Genre : Novel
Judul : Ayahanda
Pengarang : Azizi Haji Abdullah
Mukasurat : sekitar 200
Harga : RM 15.90
Terbitan : Creative Enterprise

Sumber
: Kedai buku, order terus daripada syarikat Creative http://main.cesb.net.my/home/index.php yang banyak terbitkan novel sosial atau buat macam saya…pergi ke perpustakaan.

Ulasan;

Suatu novel yang tidaklah perlu dinobatkan sebagai novel terbaik tahun tersebut tetapi pada saya ianya suatu produk yang bermisi sosial. Bertujuan memberi suatu penghargaan kepada seorang manusia yang bernama bapa walaupun hampir kesemua elemennya adalah bernilai historis penulis.

Persekitaran dan latar belakang adalah pada sekitar tahun 60an hingga 80an, bertempat di Kota Kuala Muda dan Kulim. Suasana kemelayuan tradisi kelihatan menyerlah.

Kepada manusia-manusia bandar yang kini tidak mengerti erti dan fungsi imam tua, tugasan seorang imam kampung yang meliputi segala-galanya, ingin mengerti budaya kepedulian masyarakat yang kian terhakis, budaya menghargai ilmu agama, maka novel inilah jawapanya.

Kepada ilmuan muda yang ingin tahu menghargai nilai sebuah kitab lama, lihat bagaimana si ayahanda selalu menitiskan airma mata dia tas kitabnya, memeluk kitabnya, mengusap-usap kitabnya, membuka kesan-kesan terlipat kitabnya, setia membaca kitabnya walaupun tiada sesiapa yang gemarkan pengajian secara tradisi, kekal mengajar dan menyampai ilmu walaupun hanya seorang diri di dalam gelab….menghargai nilai sebuah buku dan menggalakkan budaya menulis walaupun dalam tulisan jawi dan hanya dilakukan pada beberapa buku latihan dan bertemankan kopi o pekat.

Kepada anak….nilaikan ayah kita melalui cerminan sosial novel ini. Pengorbanan ayah tidak sama dengan si ibu. Ayah selalunya menyayangi anak daripada belakang…ayah mencintai isterinya yang tua dengan cara tersendiri…tiada pengalaman ini semua?....cuba baca novel ini dan berikan komentar anda
….Selamat Membaca…..

Pendita Bitara
12/7/2007

Pesan Pendita : baca buku…..jangan meniarap…..

Sunday, July 8, 2007

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Selamat datang ke blog ke tiga saya iaitu PENTAS KAJIBUKU. Blog ini adalah halaman baru saya untuk menyajikan ulasan dan kupasan ringkas buku-buku yang pernah saya baca dan yang sedang saya baca.

Kupasan saya mungkin bersifat personal dan individualistis berdasarkan keilmuan dan pemahaman saya sendiri. Analisa yang dibuat sekadarnya untuk meningkat serta menarik minat ramai untuk bersama-sama mentelaah buku-buku yang saya kupas.

Buku ada auranya sendiri. Dalam banyak artikel dalam laman http://munawwarah.blogdrive.com saya, terlalu banyak artikel yang memperjuangkan agenda membaca dan mentelaah. Membaca adalah sepintas lalu, manakala mentelaah adalah apabila kita menjadikan buku itu penyelesai keresahan kita untuk memahami sesuatu ilmu.

Genre ulasan saya adalah buku-buku

  • keagamaan
  • politik dan isu semasa
  • ekonomi dan keseimbangan sosial
  • novel bermisi
  • sastera klasik yang berjati diri
  • karya tentang melayu
  • sejarah negara dan sejarah dunia
  • ilmu perang.....

Dan mungkin banyak lagi kelompok buku yang akan ditemui oleh saya nanti.....Marilah membaca...!!!

Muhammad Nuruddin Bashah

Guru SRI Al Islah Pulau Pinang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...