Artikel ini telah disiarkan oleh Dewan Masyarakat edisi Ogos 2009
Hati dan kesabaran sebuah Majalah Ilmiah
Kelmarin saya berkunjung ke ‘sumber ilmu’ saya iaitu Chowrasta untuk memilih-beli beberapa buku terpakai di sana. Pergi ke Chowrasta tanpa ada apa-apa obligasi atau paksaan. Sengaja pergi apabila rasa ada duit lebih untuk digunakan. Otak hanya berfikir ‘jom beli buku’.
Saya berjaya memiliki buku huraian dan teks asal Hikayat Merong Mahawangsa terbitan UM, buku Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia karangan Dr. A. Aziz Deraman serta buku Tamadun Melayu Jilid pertama yang menghimpunkan koleksi kertas kerja. Yang menariknya dalam buku Tamadun Melayu ini, terdapat satu kertas kerja yang ditulis oleh seorang berbangsa Portugis mengenai keadaan masyarakat Melaka sebelum dilanggar Portugis berdasarkan maklumat, tentatif dan surat-surat di Lisbon Portugal. Amat bermakna.
Saya juga membeli beberapa naskhah Dewan Msyarakat tahun 1978 hingga 1980. Terdapat bahan mengenai kes Universiti Merdeka yang sedang saya tulis ( isu adakah Bahasa Melayu menindas bahasa lain?) Tulisan yang dikupas pada waktu terjadinya isu adalah intepretasi yang hidup dan saksama. Bukan seperti huraian orang sekarang yang menulis dengan meneliti khabar-khabar lama. Itu kata abg saya semasa berjalan di Giant tadi.
Bila meneliti kulit Dewan Masyarakat, saya terfikirkan hikayat dan riwayat hidup majalah itu. Ia bekas kepunyaan orang lain yang lebih tua daripada saya. Ia dicetak pada sekitar tahun 1970an oleh penulis pada waktu itu. Dicetak untuk mengangkat tamadun ilmu rakyat Malaysia. Ia bersaing juga bersama-sama majalah picisan lain di pasaran. Ia berkhidmat kepada manusia pada zaman itu untuk memberi ilmu dan kesedaran malah mungkin merangsang minda mereka untuk bekerja kepada kebaikan. Akhirnya ia berada di kedai buku terpakai. Ia sabar menanti untuk dimiliki semula. Ia berdoa mungkin, agar dirinya tidak dibakar. Ia ingin badannya disingkap dan ditelaah lagi.
Saya, manusia seterusnya ditakdirnya memiliki dirinya. Saya beli dan kini ia berada di samping saya. Majalah-majalah ilmiah ini akan digunakan pula oleh saya yang ingin bekerja untuk masyarakat. Doa majalah itu termakbul jua selagi saya tidak terpesong matlamat keilmuan dan tekad kerja saya.
Sebenarnya buku-buku ilmiah dan majalah ilmiah terpakai zaman dahulu telah menghadapi kehidupan demi kehidupan. Kesetiaanya menyalur ilmu amat saya kagumi. Saya perhatikan kulitnya, teliti tulisan penulis muda zaman itu yang kini ada bergelar Dr., Datuk dan sebagainya. Ada falsafah berat yang ingin majalah dan buku-buku itu sampaikan kepada saya. Kerana itu saya selalu mengelek buku dan majalah terkini atau terpakai ke mana sahaja saya pergi. Suatu hari nanti, bahasa bisu majalah dan buku itu akan saya fahami juga. Dengan syarat, saya terus mengelek dan berdampingan mesra dengan mereka….
Pendita Bitara
Balik Pulau P.Pinang
Bercuti 3 hari kerja kilang.
28 Jun 2009
No comments:
Post a Comment