Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Monday, September 22, 2008

Merenung peradaban dan tamadun melalui sastera

Lihat nilai dan kepentingan sastera dalam pembinaan sesebuah tamadun. Tamadun Melayu tidak ketinggalan dalam hal ini. Aan tetapi adalah agak menyedihkan apabila kesemua karya sastera-sejarah tanah melayu kurang memiliki nilai persejarahan malah lebih menonjolkan metos dan dogma monarki semata-mata. inilah yang membezakan kesusasteraan kita dengan penulisan tamadun-tamadun besar yang lain.
Merenung peradaban dan tamadun melalui sastera
Oleh S. OTHMAN KELANTAN
TRADISI bersastera secara berencana bermula dari istana raja-raja Melayu. Karya sastera dari istana memancarkan keagungan peradaban dan tamadun bangsa Melayu.
Istana merupakan pusat tertinggi dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melayu.
Istana menggambarkan cita rasa bangsa Melayu melalui raja-rajanya yang adil dan para intelektual Melayu yang berkeupayaan tinggi menyokong pentadbiran dengan bijaksana.
Sejak lebih 600 tahun yang lalu, sastera berencana berkembang memperlihatkan keagungan tamadun dan peradaban Melayu, seperti yang terkandung dalam Magnum Opus Melayu yang terkenal iaitu Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Diikuti oleh pelbagai karya agung seperti Misa Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pahang, Hikayat Johor, Hikayat Patani, Hikayat Aceh dan puluhan lagi.
Tidak dinafikan, sebelum atau seiring dengan karya sastera istana, sudah ada karya sastera lisan yang berkembang di kalangan rakyat.
Bentuk karya yang sangat nyata ialah cerita penglipur lara, yang juga memfokuskan kegemilangan istana seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Raja Donan, Hikayat Indera Putera, Hikayat Si Miskin dan puluhan lagi, yang memperlihatkan keupayaan dan pemikiran para pengarangnya.
Karya sastera rakyat ini lazimnya bersifat anonim, iaitu penciptanya tidak diketahui, tetapi ceritanya tersebar luas dalam masyarakat. Ada juga hikayat yang mengisahkan wiranya rakyat biasa dan miskin pula, tetapi kerana baktinya kepada istana, lalu berkahwin dengan tuan puteri, akhirnya menjadi raja. Fokusnya tetap kepada istana, iaitu lambang kedaulatan bangsa Melayu.
Selain daripada karya sastera berencana dari istana dan karya sastera rakyat bersifat anonim ini, wujud satu lagi bentuk karya sastera bermotifkan agama Islam.
Selain daripada bentuk kitab, yakni prosa yang jelas bahasanya tentang selok-belok agama Islam, ada juga karya yang mengambil bentuk kreatif dalam teknik penyampaiannya.
Penulisnya memilih bentuk puisi seperti syair, nazam, ruba'i atau mathnawi, seperti yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri dari Acheh, Raja Ali Haji dari Riau, Syaikh Syihabuddin dari Pahang, Tok Ku Tuan Besar dari Terengganu dan Sheikh Muhammad Zain Al-Patani.
Karya mereka memperlihatkan betapa tingginya peradaban bangsa Melayu, sekali gus menjelaskan betapa agungnya tamadun bangsa Melayu. Sebab peradaban dan tamadun tertinggi sesuatu bangsa di dunia dapat dilihat dan diteliti daripada bagaimana mereka menggunakan medium bahasa mereka untuk menyatakan pemikiran dan sesuatu peristiwa atau kejadian yang mungkin dicatat sebagai sejarah.
Bahasa itulah menjadi vehicle atau wahana yang dapat merakamkan sejarah perkembangan pemikiran, peradaban dan tamadun sesuatu bangsa di dunia.
Bahasa menjadi wahana dan lambang peradaban yang utama bagi sesuatu bangsa. Penggunaan bahasa dalam menyampaikan pemikiran sama ada dalam bentuk rakaman sejarah, buku ilmu, kitab agama, penulisan kreatif atau penuturan yang memungkinkan penyebaran ilmu atau pernyataan perasaan, membuktikan bangsa itu bertamadun tinggi.
Hal ini boleh dilihat dalam sejarah tamadun Mesir, Mesopotamia, Khildan, India, China dan sebagainya.
Bahasa itulah yang merakamkan riwayat dan hukum, seperti hukum Hamurabi di Mesir, I-Ching di China, Laleita Wishtra dan Vagavad Gita di India, yang menunjukkan bangsa itu mempunyai peradaban dan tamadun yang besar.
Kitab suci al-Quran menggambarkan peradaban dan tamadun Arab yang menggunakan bahasa Arab dalam lahjah Arab yang tulen.
Sebab itu kalau al-Quran diterjemahkan, ia tidak menampakkan keindahan estetika lahjah Arab yang tulen, kecuali memahami maksudnya. Sebab itu, sesuatu bangsa yang mengetepikan bahasa ibundanya. Dan mengagungkan bahasa luar, menunjukkan bangsa itu tidak berperadaban dan tidak bertamadun.
Peradaban dan tamadun sesuatu bangsa itu dibina dengan bahasanya sendiri, baik dalam bentuk prosa ataupun dalam bentuk kreatif. Sebab bahasa menjadi jiwa kepada sesuatu bangsa, dan keindahan estetika sebagai emosi kepada jiwa itu ialah karya kreatif.
Bahasa dicipta oleh manusia menurut keupayaan dan kebolehan yang sesuai dengan perkembangan peradabannya. Ini disebut dalam al-Quran surah al-Rum 30, ayat 22, yang bermaksud: Dan di antara keterangannya ialah kejadian langit dan bumi, dan kepelbagaian bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian menjadi kepada orang yang tahu.
Kalimat atau frasa itu menggambarkan setiap bangsa itu mempunyai bahasanya sendiri yang mereka cipta. Mereka akan menggunakannya. Mempertahankannya dan mengembangkannya sebagai bahasa ilmu atau sebagai bahasa perhubungan atau lingua franca.
Demikianlah juga bahasa Melayu. Bahasa Melayu ini sebenarnya sudah menjadi lingua franca. Bahasa perhubungan umum dan bahasa ilmu berabad-abad yang lalu. Sejak zaman kesultanan Melaka, pada abad ke-17, bahasa Melayu telah menjadi wadah untuk menyampaikan ilmu dan bahasa kreatif yang amat tinggi estetikanya.
Dan kemampuan itu berterusan sehingga sekarang. Karya kreatif yang bermutu seperti Hikayat Panglima Nikosa (1876) oleh Encik Ahmad Syawal Abdul Hamid, Mencari Isteri (1927) oleh Muhammad Yusuf Ahmad, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927) oleh Ahmad Rasyid Talu, Melati Sarawak (1932) oleh Muhammad Rakawi Yusuf, Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941) kedua-duanya oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Azuman Mahkota (1938) dan Sebelas Rajab (1939) kedua-duanya oleh Abdul Kadir Adabi dan Nyawa Di Hujung Pedang (1946) oleh Ahmad Murad Nasruddin sebagai contoh, merakamkan aspirasi bangsa Melayu tentang cita-cita kemerdekaan dan ketidaktentuan sesetengah orang Melayu setelah menerima pengaruh penjajahan Barat dan kerenah zaman pendudukan Jepun. Mereka ingin menjadi orang Barat dan mengetepikan budaya sendiri.
Melalui novel Putera Gunung Tahan dan Sebelas Rajab, kita dapat meneliti dan merenung betapa tamak dan hinanya kelakuan bangsa Inggeris sewaktu mereka ingin menjajah tanah Melayu,
Kedua-dua novel ini merakamkan secara tersembunyi bahawa kolonial British itu adalah paksi kejahatan, Existance of Evil, yang bertapak di Tanah Melayu. Mereka inginkan kekayaan lalu menjadi pengganas dan menghina penduduk tempatan.
Merekalah yang meruntuhkan kedaulatan bangsa Melayu setelah istana raja Melayu dibom. Mereka memporak-perandakan kedudukan orang Melayu dan lambang sebuah rumah tangga orang Melayu dihancurleburkan. Mereka menipu orang Melayu, termasuk Ratu Bongsu, iaitu lambang kedaulatan raja-raja Melayu, dan cuba menguasai semua harta, iaitu tanah air orang Melayu.
Melalui karya sastera inilah, kelakuan dan kejahatan mereka didedahkan secara halus, iaitu merekalah kolonial Inggeris, sebenarnya penjahat dan pengganas yang kejam dan zalim.
Mereka hadir ke sini sebagai perompak, penyamun dan pencuri yang membawa perangai haiwan. Semuanya disampaikan dengan bentuk sindiran yang halus dan tajam.
Karya sastera seperti ini hanya dapat di fahami oleh pembaca yang kritis. Karya ini menggambarkan betapa tingginya peradaban bangsa Melayu seperti yang tersurat dan tersirat dalam karya kreatif, sama ada dalam novel, cerpen, sajak dan sebagainya.
Karya sastera kita semasa pendudukan Jepun dan selepas Perang Dunia Kedua, malah sampai ke zaman selepas kemerdekaan, melalui medium bahasa Melayu telah memperlihatkan keupayaan sebagai bahasa ilmiah di institusi pengajian tinggi, dan menjadi bahasa kreatif yang mempesonakan.
Puisi awal oleh Tok Kenali dan Pungguk, membawa nilai estetika yang tinggi. Apa lagi cerpen dan novel seperti yang ditulis oleh Abdul Rahim Kajai, Pak Sako, A. Samad Ismail, Ruhi Hayat dan Rumaja Malaya, bukan sahaja membawa aspirasi bangsa Melayu dalam peradaban dan tamadunnya, tetapi menonjolkan nilai estetikanya yang sangat tinggi.
Sebagai contoh, Rumaja Malaya penulis dari Kedah yang telah menghasilkan 14 buah novel sejak 1953 dengan novel pertamanya corak masyarakat, sehingga 1958 dengan novel terkulai di lautan madu membawa stail atau gaya bahasa penceritaan yang mempesonakan.
Walaupun temanya biasa dengan kisah percintaan dan kerenah manusia dalam rumah tangga, termasuk tentera, stailnya sangat kreatif dan imaginatif.
Novel Rumaja Malaya membuktikan bagaimana bangsa Melayu berkeupayaan dan boleh membentuk nilai estetikanya yang amat tinggi. Di sinilah letaknya keagungan peradaban kita dalam seni kreatif. Selain daripada berkeupayaan untuk membawa cita rasa ilmiah melalui karya seperti kitab agama, buku pengetahuan dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, segolongan orang Melayu tidak melihat karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu. Dengan kata lain, mereka mendewa-dewakan bahasa asing. Golongan inilah yang menyebut karya sastera Melayu tidak bermutu, membosankan, tidak membawa ilmu, dan pelbagai cemuhan.
Segolongan kecil intelektual kita terpesona dengan karya asing, ada aliran baru, kata mereka, iaitu teknik sololoqoy, seperti yang ditulis oleh Edouard Dujardin (1887), atau muncul teori atau aliran formalisme, strukturalisme, semiotik, resepsi dan pelbagai teori Barat dikemukakan, termasuk era kolonialisme, modenisme, pascamodenisme dan pascakolonialisme.
Dan akhir-akhir ini pula muncul aliran yang sangat dikagumi dari Amerika Latin, iaitu realisme magis.
Pada hal dalam kesusasteraan Melayu sudah muncul realisme magis ini dalam Putera Gunung Tahan (1937). Atau setidak-tidaknya telah muncul lebih awal dalam cerita lisan Melayu, kemudian dibukukan dengan nama cerita penglipur lara, seperti yang telah disenaraikan di atas.
Suatu bangsa yang besar amat menyanjung dan mengembangkan bahasa dan sasteranya dalam pelbagai bentuk. Kita boleh membaca karya luar, tetapi kita jangan lupa membaca karya sastera kita sendiri. Kita akan dapat melihat keagungan karya sastera seperti les lauriesrs sont caupes, pohon-pohon lauriers sudah dipangkas, doktor Zhivago, war and peace, gulag archipelago, quiet flows the don, Taras boulba, farewell to arms, off mice and man, ulysses, snow country, the sound of wave untouchable, the name of the rose dan rasukan karya asing terkini yang tersebar di seluruh dunia.
Kita dapat manfaat daripadanya untuk melihat dan meneliti peradaban dan tamadun mereka sekadar perbandingan. Tetapi janganlah kita lupa memiliki dan membaca karya sastera kita dalam bentuk novel seperti Acuman Mahkota, Sebelas Rajab, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Mencari Isteri, Nyawa Di Hujung Pedang, Lingkaran, Rumah Kosong, Tembok Tidak Tinggi, Musafir, Seluang Menodak Baung, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Di Negeri Belalang atau membaca novel saya yang terakhir, iaitu Orang Kota Bharu (oghe koto baghu).
Orang Melayu, terutamanya yang digelar Melayu baru kebanyakannya menjadi jutawan. Jadikanlah karya sastera Melayu, sama ada novel kumpulan cerpen, antologi puisi, buku drama, dan sebagainya untuk memenuhi rak buku di rumah selain daripada buku-buku asing. Setidak-tidaknya apabila ada masa terluang, dapat juga membaca karya sastera Melayu untuk meneliti peradaban bangsa sendiri.
Demikianlah karya sastera Melayu yang dirakamkan melalui bahasa Melayu, seperti yang dinyatakan di atas, menunjukkan bagaimana pengarang kita sejak zaman kesultanan Melaka pada abad ke-17 hingga abad ke-20, masih menggunakan bahasa Melayu peringkat tinggi dalam menyebarkan ilmu termasuk ilmu yang menyentuh agama Islam.
Mereka juga mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kreatif dalam syair, nazam, ruba'i, mathnawi, pantun, novel, cerpen, sajak dan drama. Ribuan karya sastera Melayu dalam pelbagai genre dan disebarkan secara meluas ke seluruh dunia, menunjukkan bagaimana wajah sebenar peradaban dan tamadun Melayu wujud di dunia ini sudah berabad-abad lamanya.
Keagungan peradaban dan tamadun yang terlambang dalam bahasa Melayu melalui karya kreatif ini amat besar nilainya dan amatlah wajar kerajaan Malaysia memberikan penghargaan kepada para penulisnya.
Meneliti aspirasi rakyat dalam karya sastera sejak ratusan tahun yang lalu, sehingga karya sastera yang menentang kolonial British sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, ternyata bangsa Melayu mempunyai peradaban dan tamadun yang tinggi dan teruji.
Dan kalau ada orang Melayu yang memperkecilkan bahasa Melayu dan karya sastera Melayu, maka eloklah mereka kembali meneliti dan merenung keagungan peradaban dan tamadun kita seperti yang telah terakam dalam ratusan karya sastera sejak zaman kesultanan Melaka lagi.
Mereka mesti menyedari keagungan ini, agar mereka mengetahui bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang besar, seperti yang tercatat dalam karya sastera Melayu. Bahasa Melayu juga mempunyai keupayaan yang tinggi, sama seperti bahasa-bahasa besar lainnya di dunia ini dalam membina peradaban dan tamadun Melayu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...