Read more: http://www.blogdoctor.me/2007/02/expandable-post-summaries.html#ixzz0S3251GGW

Monday, March 15, 2010

Telaah kitab di Kamunting

Tadi sepanjang berada di kilang saya membaca bab intergranular corrosion yang selalu berlaku pada Austenitic Stainless Steel dan bagaimana kaedah cathodic protection digunakan untuk membersihkan barangan perhiasan perak di rumah kita...idea tu bagus untuk elak kita calarkan perhiasan itu dengan menyental menggunakan autosol..

Tapi tujuan saya menulis ini adalah untuk menceritakan proses pembelajaran saya selepas berkerja pula.

Sepanjang minggu di sekitar kamunting ada banyak kelas pengajian kitab-kitab jawi lama di adakan di masjid-masjid. Malah ada usaha pihak tertentu mengadakan jadual integrasi semua ceramah dan pengjian dalam satu jadual lengkap semua kuliah seluruh Taiping. Mereka memudahkan golongan yang bersikap memburu kuliah merata tempat tanpa mengira khariah dan masjid mana sekalipun.

Saya bawa isteri saya hampir setiap malam ke masjid sekitar Kamunting.

Antara kitab-kitab jawi yang dapat saya telaah adalah Sabilul Muhtadi (sheikh Arsyad banjari), Siarus salikin (Sheikh Abdul samad Al falimbani), mastika Hadis (JPM), Tafsir Nurul Ehsan, Bahrul Mazi (tidak kerap sangat), Tanwirul Qulub, Muniatul Musolli, Tajzib Atrafal Hadis dan pelbagai lagi.

Di sini juga ada banyak kuliah muslimah dan menjadi adat pula bagi beberapa muslimat menjadikan rumah mereka sebagai pusat pengajian guru-guru tertentu menggunakan kitab-kitab tebal setanding dengan kuliah lelaki di masjid-masjid. Pada waktu asar kebanyakan masjid ada kuliah muslimah.

Jadi selepas bekerja, boleh sahaja terapi minda dan rohani diperolehi melalui menjejaki kuliah-kuliah ini semua. Kebetulan semua senara kita yang di ajar telah lama sayaa beli semasa berada di alam kampus dahulu. dahulu pernah belajar tapi belum tamat kitab-kitab tebal tersebut. walaupun silih berganti guru, namun saya berpuas hati dengan apa yang termampu dipelajari.

Bila balik ke rumah isteri saya pula akan buka mukasurat yang saya belajar untuk dibaca pula ayat-ayatnya kerana kami hanya ada serba satu sahaja kitab-kitab tu. Itulah perkongsian pintar namanya.

Muhammad Nuruddin Bashah
Jurutera di Kamunting raya.

Friday, March 5, 2010

'Menjebat Pembudayaan Membaca Susastera Melayu'

'Menjebat Pembudayaan Membaca Susastera Melayu' ( dipetik dari http://www.shelfari.com/groups/11945/discussions/7350/Betulkah-orang-Malaysia-malas-membaca-)

Ada sesuatu yang masih samar-samar dalam memahami mentaliti dan sikap budaya membaca buku-buku Melayu, lebih-lebih lagi susastera Melayu di kalangan masyarakat kita. Tika inipun, para sasterawan, pengedar dan penerbit masih bertanya, apa lagi yang mereka perlu lakukan untuk merancakkan golongan masyarakat kita, terutamanya generasi muda untuk berjinak-jinak dengan Sandera, Ogoshonto dan Merpati Putih kita.

Hajah Zalila Sharif di dalam kertas kerja yang dibentangnya pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII menyatakan:

“...kita bagai tertanya-tanya di mana silapnya sehingga kita perlu martabatkan, perkasakan sastera kita di tanah air kita sendiri sedangkan kita mempunyai prasarana yang lengkap, badan penulis yang begitu aktif dan prihatin terhadap masa depan sastera kita. Malahan bengkel demi bengkel kita adakan bagi melahirkan penulis yang akan meneruskan tradisi persuratan.”1

Mungkin pemasalahan ini bukan lagi terletak pada bahu pengedar dan penerbit susastera Melayu (walaupun perlu ada strategi pemasaran yang lebih giat), tetapi, seperti yang selalu dilaungkan dalam setiap statistik kajian jumlah pembacaan masyarakat Malaysia, pemasalahan ini terletak pada sikap dan budaya pembacaan buku Melayu sendiri di kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu Malaysia.

Apa itu susastera atau sastera Melayu? Apakah yang menyebabkan makhluk ini susah benar didekati oleh masyarakat kita, sehingga beberapa penerbit swasta dan kedai buku lebih senang menerbit dan mempamerkan makalah-makalah Inggeris dan novel-novel popular tempatan? Sehinggakan para penulis sastera kini sedang melalui satu revolusi ‘terbit buku sendiri’ walaupun ia tidak serancak mana. Apa yang menyebabkan ia susah benar didekati, semacam barah yang takut terhinggap di dalam sanubari?

Pemasalahan ini mungkin boleh diteliti dengan memahami fungsi buku dalam masyarakat Malaysia, terutamanya orang Melayu. Sudah diketahui dalam sejarah silam, buku dan pembukuan (yang dipangggil persuratan) adalah satu aktiviti budaya yang hanya aktif berlaku di kalangan institusi raja dan kerabat istana. Penyalinan pelbagai ‘versi’ sebuah kitab seperti Sulalatus Salatin2 menunjukkan bagaimana proses pengedaran dan pembacaan kitab-kitab ini hanya terhad kepada golongan raja dan kerabatnya, peredarannya terhad atau langsung tidak sampai ke tangan golongan masyarakat biasa pada masa itu.

Golongan kedua yang mendapat ‘keistimewaan’ memiliki kitab adalah golongan cendiakawan atau penuntut-penuntut ilmu. Mereka juga dipergolongkan sebagai orang-orang atasan yang paling dekat dalam interaksinya dengan institusi raja Melayu. Kebanyakan mereka juga, bukan sahaja menjadi pemimpin-pemimpin mukim dan kampung, tetapi seperti yang disebut dalam sejarah, turut mengambil peranan sebagai penasihat agama kerajaan.

Sastera orang-orang kebanyakan lebih sesuai dalam bentuk lisan, tanpa memerlukan ekonomi kertas dan pen untuk menghasilkannya. Sepertimana semua bentuk tamadun-tamadun awal dunia, pengucapan - penghafalan dan pengucapan semula adalah proses penyebaran dan penghayatan biasa masyarakat dunia, sepertimana Illiad serta Oddyseus yang dilafaz dan dihafal oleh pemuda-pemuda Yunani zaman itu, Mahabrata pada masyarakat India, dan Taurat pada tamadun Ibrani.

Bagi masyarakat Melayu pula, aktiviti pengucapan lisan sangat berkembang dalam memperancakkan kesusasteraan golongan rakyat (folk literature). Pelbagai bentuk pelakuan lisan seperti gurindam, seloka, syair, dodoi, mantera, pepatah, marhaban, zanji dan terutamanya pantun berkembang luas di seantaro gugusan nusantara.

Kisah-kisah seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tenggang, Bawang Merah Bawang Putih, Dandan Setia, Singapura Dilanggar Todak, Sang Kancil, Raja Bersiong, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Pak Pandir dan Sang Gedambai adalah kisah-kisah biasa yang diperturunkan dari generasi ke generasi oleh tukang cerita, tuk selampit, tukang karut atau panglipurlara. Kisah-kisah mereka ini, yang adanya bersambung-sambung dari satu hari hingga ke satu hari dan kadang-kala mengambil tempoh berbulan-bulan lamanya untuk cerita ini selesai, telah menjadi semacam satu institusi atau tumpuan golongan rakyat untuk mengisi masa lapang mereka, sekaligus memberi identiti dan nilai terhadap jatidiri mereka sebagai seorang Melayu.

Malah perutusan susastera lisan ini dipelbagaikan juga dalam bentuk wayang kulit, menora, mak yung, dan bangsawan, yang tetap menggunakan perilaku lisan sebagai medium pengantara, walaupun kali ini imej juga mengambil ciri penting dalam persembahan mesejnya.

Evolusi ini berterusan, seperti yang sudah didokumentasikan oleh Anwar Ridhwan di dalam novel bagusnya, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Novel itu secara tidak langsung, memaparkan peredaran kegiatan susastera di peringkat rakyat, bagaimana pada awalnya ia berbentuk pengucapan lisan (tuk selampit bercerita) kepada satu kumpulan pendengar, dan kemudiannya ‘bertukar’ pengaruh kepada media radio.

Kalau diteliti betul-betul, medium lisan tetap memaparkan pengaruhnya terhadap komuniti masyarakat biasa Melayu, dan tidak salah kalau saya kata sehingga kini. Golongan rakyat yang sudah terbiasa dengan suara dan imej telah menerima baik media tayangan filem, dan kemudiannya televisyen. Media ini bukan sahaja cepat dan efektif di dalam menyelusur berjuta-juta mata dan telinga masyarakat, ia menampilkan satu kualiti yang lazim dan norma pada penerimaan kognitif rakyat, iaitu penggunaan medium suara zaman berzaman.

Maka mentaliti bahawa karya susastera Melayu sebagai satu karya elitis dan dibuat untuk golongan elitis masih menular di kalangan masyarakat kita.

Dari kecil lagi, orang Melayu kita diajar menjunjung muqadam atau Al-Qur’an apabila membawanya di dalam tangan, memaparkan ketinggian penghormatan kita bukan sahaja pada ilmu secara tersirat, tetapi buku secara tersurat. Maka buku diperlihatkan sebagai suatu medium yang berat, bermartabat tinggi, susah dan payah untuk dicedok oleh orang-orang biasa. Maka sesiapa yang memiliki dan pernah membacanya dianggap “’alim” (mempunyai pengetahuan yang dalam) atau “fasih”. Martabat buku sangat dijaga oleh masyarakat kita, sehinggakan pantang kalau ibu kita melihat kita melangkah atau memijak buku, walaupun buku teks kerana “seakan mempersenda ilmu yang dibawa di dalam kepala”. Maka dari kecil lagi, kita sudah menganggap, buku bukan sahaja agung dan tinggi statusnya kepada kita, tetapi takut dan susahnya kita untuk mendekatinya.

Budaya membaca ini sudah tentu lain dengan budaya membaca di luar negara. Di Indonesia, di mana saya sendiri berpengalaman melihat suatu yang unik di Kediri, Jawa Timur, seorang pengisi pam di stesen minyak pun boleh mengambil masanya membaca sebuah buku sementara menunggu sebuah kereta datang. Itupun, dia akan mengambil masa menghabiskan rangkap ayatnya, baru dia menghampiri pemandu kereta yang baru berhenti di tepinya.

Sean Walsh, pembikin filem indie Bloom (2003), adaptasi daripada karya agung James Joyce, Ulysses, pernah mengatakan, buku Ulysses adalah sebuah buku kebanggaan orang Irish Inggeris, hingga di Ireland, setiap rumah masyarakat Irish akan menyimpan sebuah naskhah karya Joyce itu di dalam rumah mereka, walaupun isi rumah itu tidak pernah menyentuh isi tulisan Joyce itu. Memilikinya sudah cukup memberi mereka kebanggaan sebagai ‘memiliki suatu khazanah Irish’.

Di kota London, amat janggal seorang pemuda universiti yang mahu bersosial bersama kawan-kawannya tidak kenal dengan Alex Garland atau Irvine Welsh. Jika mereka tidak tahu, mereka seakan terpinggir apabila berdiskusi berserta kawan-kawan dalam satu pesta. Penulis-penulis itu sama pentingnya dengan Coldplay atau Madonna dalam perbualan sosial.

Kenapakah perkara sebegini tidak boleh berlaku di Malaysia? Memang, saya turut mendengar bahawa di England, orang membaca buku seakan menghisap rokok. Kadar ‘penggunaannya’ tinggi. Malah ada orang England membayangkan buku semacam rokok, apabila habis dibaca, dibuang sahaja ke tong sampah.

Apabila diteliti perkara ini, memang kita agak susah mahu mengecapi budaya sebegini kerana mentaliti Guttenberg (menghasilkan karya dalam bentuk massa) tidak sesuai dengan budaya orang timur, oleh kerana penghormatan kita terhadap buku dan fungsinya. Malah, kalau diteliti secara ekonomi, harga sebuah novel sastera kita lebih mahal daripada sehidang makanan atau menonton sebuah filem di pawagam. Maka, lebih baik golongan marhaen mengisi perut mereka, membeli majalah yang ada pelbagai cerita dan imej, atau membeli tiket wayang untuk menghiburkan diri dengan hanya sekeping RM10 daripada membuangnya untuk sebuah buku yang perlu diambil berhari-hari lamanya untuk dihabiskan dan tidak tahu jika mereka akan sampai di halaman terakhir, mereka akan menyukainya atau tidak. Perkara-perkara sebegini tidak berlaku di negara-negara barat kerana harga tiket wayang adalah sama dengan harga sebuah buku, atau kadangkala lebih mahal lagi seperti di Jerman dan Korea Selatan.

Maka persoalan kuasa kapitalisme juga menjadi persandaran dalam isu ini. Pihak kapitalis atau pihak yang mempunyai daya kuasa modal niaga sudah tentu memikirkan tentang pemulangan keuntungan dan permintaan massa. Jikalau kita berjalan di kaki lima kota London atau New York, kita akan lihat banyak kedai buku yang tumbuh macam cendawan- penanda adanya permintaan untuk buku oleh masyarakat barat. Jika kita berjalan di mana-mana jalan Chow Kit, Bukit Bintang atau Telawi, amat jarang untuk kita menjumpai kedai-kedai buku (yang sebenarnya lebih tenteram duduk di dalam pasaraya-pasaraya besar kerana ‘martabat’ tempatnya dan strategi pusat penempatannya). Toko-toko majalah mungkin ada tetapi bukan kedai-kedai buku.

Rancak dan meligatnya penerbit-penerbit swasta yang mengeluarkan novel-novel dan majalah popular juga menjadi bukti kuat bahawa di dalam dunia serba kapitalis ini, apa sahaja yang memberi pulangan yang lumayan dan mengisi permintaan massa, sektor itulah yang akan diterjah dahulu. Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah mengikut alur pengaruh kapitalis ini apabila pusat Galeri Buku Malaysia yang dibuka di Jalan Kwitang, Jakarta pada 1992 telah ditutup pada 1994 kerana alasan ‘tidak membawa pulangan’. Jikalaulah idea murni ini diberi masa untuk diperkenalkan kepada rakyat Indonesia dan diberi strategi pemasaran yang efektif, sudah tentu industri persuratan kita sudah boleh bertapak lama di Indonesia.

Sebenarnya, pemasalahan sebenar mahu tidak mahu seorang pemuda atau pemudi membeli sebuah buku sastera bukan sahaja kerana mereka tidak mampu (daripada segi ekonomi atau mentaliti), tetapi kerana mereka tidak tahu.

Saya sendiri ada melakukan sebuah projek, “Kempen Satu Buku Seorang Satu”, yang saya jalankan di dalam blog saya, kububuku.blog-city.com. Kempen yang berlangsung dalam masa tiga bulan ini saya jalankan dengan menyumbang sebuah buku sastera (baik novel, antologi puisi, cerpen, dan bahan rujukan) kepada seorang peserta yang mahu mengikut kempen yang saya jalankan ini.

Daripada hasil tinjauan yang saya terima daripada 60 orang dalam masa tiga bulan, saya dapati 75% daripada bilangan peserta kenal akan sastera kita. Malah, mereka mahu saya sumbangkan mereka novel Salina, buku-buku Usman Awang atau buku-buku Faisal Tehrani. Ini adalah satu petanda baik kerana mereka ada inisiatif untuk mengenali para sasterawan kita, malah melangsungkan penyimbolan ikon sastera kita, bermakna, kalau namanya sastera Malaysia, orang akan terbayang A. Samad Said, Usman Awang, Shahnon Ahmad dan Faisal Tehrani (ini adalah sama seperti ikon Gabriel Garcia Marquez untuk sastera Latin Amerika atau Naguib Mahfouz untuk sastera Arab Mesir).

Maka tugas saya hanya memperkenalkan kepada peserta ini bahawa susastera Melayu tidak sahaja berhenti kepada Salina, Merpati Putih dan 1515 tetapi susastera kita ada Muhammad Akhir, Fitrah Kimiawi, Ngayau, Manuklon dan Sangkar.

Situasi yang paling menyedihkan, kerana realiti kapitalisme, peserta-peserta dari Labuan, Brunei, Sabah dan Sarawak dengan berterus-terang melaporkan, mereka tidak dapat membeli buku sastera kerana buku-buku itu tidak ada dijual ditoko-toko buku tempat mereka dan kebanyakan koleksi perpustakaan mereka sudah terlalu lusuh dan hampir tidak ada.

Melihat daripada persoalan-persoalan di atas, mungkin ini adalah masanya untuk penulis, aktivis atau peminat sastera melihat jalan penyelesaian ini di luar kerangka biasa. Mungkin ini adalah masa untuk tidak memikirkan apa lagi yang perlu dibuat oleh agensi kerajaan tetapi apa yang kita boleh buat untuk melihat jangka hayat susastera kita berterusan. Ini adalah masa untuk kita memberontak terhadap kebiasaan dan kelaziman, atau bersembang sesama sendiri sahaja. Ini adalah masa untuk menjebatkan budaya pembacaan.

Penjebatan ini memerlukan sepenuh jiwa, mungkin darah kita sekalipun untuk berlaku. Seperti satu pepatah Inggeris ada menyebut, “Jika Muhammad tidak mahu ke gunung, biar gunung datang ke Muhammad”. Idealisme yang dipegang ini bukan sahaja memancarkan kesanggupan kita untuk memberi segala tenaga, wang dan jiwa kita terhadap sastera tetapi ia juga perumpamaan untuk kita menghampiri balik generasi muda yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu tentang kepelbagaian sastera kita. Maka kita terpaksa ‘mengamuk’, terpaksa mengambil tindakan drastik yang di luar dugaan, sepertimana yang Hang Jebat lakukan untuk saudaranya Hang Tuah, beliau perlu menderhaka untuk satu perjuangan murni.

Di sini saya terfikir beberapa kaedah Jebat dan gerila yang boleh dilakukan oleh penulis, aktivis dan peminat sastera:

• Mengambil beberapa ayat-ayat atau perenggan-perenggan yang baik dalam beberapa buah novel atau cerpen terkemuka, lalu dihimpun dalam selembar kertas dan secara gerila, kertas ini disebarkan ke seluruh pelusuk urban atau kampung. Ayat-ayat dan perenggan itu perlu disertakan judul novel dan nama penulisnya. Penulis-penulis sendiri yang memegang hakcipta, boleh menyebarluaskan karya mereka dengan kaedah sebegini.

• Menggunapakai emel untuk menggodam dan menghantar secara rawak teks-teks seperti idea di atas. Kalau orang sudah terbiasa dengan surat berantai, apa salah dengan sastera berantai?

• Buku-buku sastera yang kita sudah tidak mahu, berikan sahaja pada orang lain (bukan sahaja kawan, mungkin seseorang yang kita tidak kenali di tepi jalan) atau humbankan sahaja di mana-mana. Lebih baik lagi, kita belikan sebuah buku baru, dan ‘tanam’kan buku ini di merata tempat- di dalam lif, di restoran mamak, di peti pos, di tepi pantai, atau di tangga masjid. Kemungkinan orang yang terjumpa buku ini akan mengambilnya pulang, membacanya dan menghayatinya. Idea ini sama seperti plot filem Orange County (2002) di mana seorang pemuda terjumpa sebuah buku tertanam di dalam pasir pantai, lalu buku yang dijumpainya ini telah menukar cara hidupnya.

• Mengadakan pusat sumbangan buku atau sudut buku Melayu di restoran mamak, di mana sesiapa sahaja boleh ambil (atau curi) buku itu, tetapi syaratnya adalah buku itu mesti buku sastera Melayu. Idea ini adalah idea yang saya dapat dari bookcrossing.com.

Penjebatan buku ini mungkin tidak akan berlaku jika kita sendiri tidak mahu memberi atau menyumbang sesuatu daripada idealisme ini. Hanya apabila idea membiarkan buku simpanan kita diselongkar dan disentuh oleh ‘rakyat biasa’, mungkin baru waktu itu terbuka lagi kesedaran golongan biasa bahawa susastera Melayu ini bukan sahaja menarik, tetapi boleh disertai oleh mereka, dan mungkin pada satu hari nanti membawa turun harga buku tempatan kerana popularitinya boleh menyamai ketagihan untuk sebatang rokok.


Muhammad Fadhli al-Akiti adalah penulis novel remaja JIAN terbitan DBP dan mempunyai blog perbincangan susastera kububuku.blog-city.com.


Nota Kaki
1. Hajah Zalila Sharif, “Pemerkayaan Sastera Dalam Kalangan Generasi Muda”, 7 November 2006, hlm. 1. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII, Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. S. Samad Ahmad dalam Sulalatus Salatin: Edisi Pelajar menyatakan (S. Samad Ahmad, “Tiga Naskhah Lama Tulis Tangan”, hlm. xi, Sulalatus Salatin: Edisi Pelajar, 1997, DBP.), pembikinan Sulalatus Salatin yang sedia ada berdasarakan tiga jenis naskhah Sulalatus Salatin yang dijumpai, iaitu: Naskhah Munshi Mohammad Ali, Naskhah Hj. Othman Abdullah dan naskhah DBP. Kesemua naskhah-naskhah ini mempunyai kelainan dari segi bentuk salinannya, seni kaligrafi jawinya dan estetika persembahannya.

Buku Amaluddin Darus di Pudu


Saya dan isteri saya ada pergi ke Pusu baru-baru ini. Perjalanan pulang kami daripada UM untuk memulangkan buku kejuruteraan yang saya pinjam daripada perpustakaan UM.

nak jimat, kami pergi naik keretapi, balik naik bus ekspres.

Di Pudu saya berkunjung ke beberpa kedai buku agama yang selalu saya kunjungi. Dan masih ada kedai yang menjual buku lama da kitab lama-lama tahun 1960an dahulu. Dulu saya selalu ke sini.

Saya dan isteri beli beberapa buku tulisan Senator Amaluddin Darus iaitu bekas pemimpin PAS pusat yang berjasa menubuhkan PAS di Kelantan.

Buku beliau ringkas, tetapi idea padat dengan menilai masa depan melayu yang carik identiti dan nilai agama sehingga kerap pragmatik dengan idea sekular barat...

Cuba anda baca dan kongsi fahaman beliau bersam saya.
Dahulu mudah, di perpustakaan UM, semua buku Amaluddin ada tersimpan sepi, tak ramai tahu siapa beliau ni. Sekarang terpaksa la beli buku banyak-banyak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...